Pemuda Umno Temerloh menggesa kawalan keselamatan di pusat beli belah di sini, ditingkatkan bagi membendung kegiatan jenayah di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.
Ketuanya, Azril Rizal Mohd Sarit berkata, walaupun kejadian melibatkan kawasan pusat beli belah sering dilaporkan berlaku di bandar besar, namun pihak berkuasa juga perlu meningkatkan kawalan keselamatan di premis tersebut di sini, sebagai langkah pencegahan.
Menurutnya, kes jenayah yang berlaku di pusat beli belah di bandar besar seperti kejadian menyeluk saku, ragut dan penculikan kanak-kanak menimbulkan kebimbangan tidak terkecuali masyarakat di sini.
“Kami tidak mahu kejadian sama berlaku di sini. Jadi, kawalan keselamatan di pusat beli belah perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa sebagai langkah mengatasi masalah itu,” katanya Sinar Harian, semalam,
Beliau berkata, baru-baru ini masyarakat Temerloh dikejutkan dengan kejadian rompakan ke atas seorang lelaki yang ditembak di hadapan sebuah bank kerana cuba melawan perompak terbabit.
Menurutnya, kejadian itu menunjukkan Temerloh kini tidak terkecuali berhadapan kes jenayah serius dan langkah pencegahan perlu diambil perhatian serius pihak berkuasa.
Azril Rizal berkata, sebagai contoh, Majlis Perbandaran Temerloh boleh mewujudkan peraturan mewajibkan pemasangan CCTV di setiap premis perniagaan atau pusat membeli belah sebagai salah satu langkah pencegahan.
“Pihak keselamatan bangunan pula perlu meningkatkan lagi kekerapan rondaan berkala di kawasan premis hiburan keluarga, tempat letak kereta dan kawasan terpencil di dalam bangunan.
“Kesedaran orang ramai juga perlu ditingkatkan supaya mereka sentiasa berwaspada bagi mengelakkan berlakunya kes seperti penculikan yang dilaporkan berlaku di tempat lain,” katanya.
0 comments:
Post a Comment