Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 15, 2016

[TEMERLOH] TIMBALAN KETUA POLIS CEDERA DIPUKUL


Timbalan ketua polis cedera dipukul


Perlawanan terakhir kejohanan Muay Thai terbuka Pahang di tapak parkir Star Mall di sini, malam kelmarin, kecoh dengan pelbagai provokasi selepas penyokong dan pegawai sebelah pihak tidak puas hati dengan keputusan juri.

Malah, kekecohan perlawanan terakhir daripada lima regu membabitkan peninju Kelab Muay Thai Patin Mas Temerloh menentang sebuah kelab dari Terengganu itu, turut mencederakan Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Zundin Mahmood.

Zundin berkata, beliau bangun apabila melihat kekecohan sebelum seorang lelaki memukul belakang kepalanya dengan kerusi besi.

“Saya jatuh dan cuba bangun tapi lelaki tu nak pukul lagi. Anak lelaki berusia 24 tahun yang datang bersama cuba halang dengan tangannya.

"Tangan anak saya mungkin retak atau patah, gigi saya pun patah dan hari ini (semalam) saya terima rawatan di Klinik Kesihatan Tanjung Lalang untuk X-ray kepala," katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan, sehingga semalam belum ada tangkapan dibuat dan kes akan dibuka kerana merusuh.

Sementara itu, Naib Ketua Wanita Umno Temerloh, Rosyatina Ab Wahab berkata, sudah ada tanda akan ada berlaku kekecohan pada pusingan keempat perlawanan terakhir itu apabila ada penyokong mula naik ke gelanggang.

“Saya sebenarnya nak balik awal tetapi penganjur minta tunggu dan saya akur. Lepas juri umumkan keputusan seri, penyokong tak puas hati mula buat kecoh.

"Zundin cuba leraikan tapi dipukul dengan kerusi menyebabkan dia jatuh...giginya patah dan kepalanya berdarah. Masa tu, anggota JPAM tarik saya keluar," katanya.

Difahamkan, lelaki yang mencederakan Zundin bersama rakan-rakannya melarikan diri dengan pacuan empat roda. Malah, ada yang menyelinap dalam semak berhampiran selepas melakukan kekecohan itu.

Sementara itu, penulis sendiri yang menyaksikan perlawanan itu bersama isteri dan tiga anak sudah menjangkakan akan berlaku kekecohan pada hari terakhir kejohanan itu.

Keputusan membawa keluar isteri dan anak pada permulaan regu ketiga memasuki gelanggang tindakan tepat mengelak kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Muay Thai Patin Mas Temerloh, Megat Asri Abdul Jalil memohon maaf kerana kekecohan itu.

Katanya, kejadian mungkin disebabkan ada penonton yang berjudi sesama mereka.

“Sukan ini mungkin sukar dianjurkan selepas ini, terutama melibatkan permit penganjuran dan soal keselamatan,” katanya.

Kejohanan Muay Thai Terbuka Pahang anjuran Kelab Muay Thai Patin Mas Temerloh dengan kerjasama Persatuan Bina Badan Temerloh, Pusat Khidmat Dun Lanchang, Pejabat Belia dan Sukan, Majlis Belia Daerah dan Star Mall Car Boot Sale itu disertai 30 peserta dan menawarkan hadiah keseluruhan RM15,000.


0 comments:

share2