Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 5, 2016

[TEMERLOH] PAS TETAP TANDING SEMUA KERUSI


Pas


Pas tetap bertanding di kerusi Parlimen Temerloh walaupun ada desas-desus PKR akan meletakkan calonnya, Datuk Saifuddin Abdullah di situ pada PRU14.

Yang Dipertua Pas Temerloh, Md Jusoh Darus berkata, desas-desus Saifuddin akan mewakili PKR di Parlimen Temerloh hanya khabar angin.

“Ia tidak mungkin berlaku sebab Temerloh adalah kerusi Pas sejak dahulu.

"Malah, calon kita, Nasruddin Hasan berjaya mengalahkan lawannya, Datuk Saifuddin yang ketika itu bersama BN pada PRU13 lalu," katanya kepada media, di sini.

Menurutnya, Pas akan mempertahankan semua kerusi ditandingi sebelum ini.

"Kita tetap akan pertahankan kerusi Parlimen Temerloh dan Dun Kuala Semantan... tak kiralah siapa calon dan parti mana yang bertanding," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pas Temerloh, Hasanuddin Salim turut menyuarakan pendapat sama.

Menurutnya, tiada maklumat diterima daripada sumber sah mengenai pencalonan Saifuddin Abdullah.

“Mungkin itu hanya cerita ahli biasa PKR atau Umno di kedai kopi.

"Setakat ini, tiada maklumat rasmi diterima berhubung perkara itu,” katanya.

Katanya, Pas Temerloh juga bertegas akan bertanding di Dun Kuala Semantan walaupun terpaksa berdepan pertandingan tiga penjuru.

“Jika tidak mahu berlaku pertandingan tiga penjuru, kita minta mereka lupakan hasrat meletakkan calon di dua kerusi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Pas tidak bimbang dengan pertandingan tiga penjuru kerana yakin kekuatan ahlinya yang istiqamah dan sentiasa bersedia untuk pilihan raya.

Menurutnya, kewujudan parti baharu bukan ancaman sebaliknya ia disifatkan sebagai mengisi ruang kosong bagi mana-mana ahli politik yang tidak mempunyai parti.

“Ahli-ahli politik ini, mereka memerlukan wadah perjuangan... apabila mereka keluar parti (asal) mereka perlukan parti (wadah) baharu untuk meluah perasaan dan memperjuangkan cita-cita murni politik mereka.

“Bagi Pas, perjuangan kita bukan politik semata-mata, kita berjuang untuk dakwah, tarbiah dan sebagainya.

"Perjuangan kita berbeza dengan parti lain," katanya.


0 comments:

share2