Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 5, 2016

[KUANTAN] PEKERJA ASING KENA TAHAN


Pekerja asing kena tahan


Jabatan Imigresen Pahang melipatgandakan usaha bagi mengesan dan menahan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang bekerja di negeri ini secara tidak sah.

Operasi dijalankan secara menyeluruh memandangkan Pati kini tidak hanya terlibat dalam sektor tertentu sahaja, sebaliknya ada majikan cenderung menggajikan golongan itu dalam sektor perkhidmatan dan peruncitan.

Setiap operasi digerakkan jabatan itu sentiasa berjaya mengesan dan menahan Pati atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Terbaharu, jabatan itu memeriksa 20 premis perniagaan dan rumah serta bilik sewa sekitar Kuantan dan Pekan.

Seramai 163 warga asing diperiksa dan 52 ditahan kerana melanggar pelbagai peraturan di bawah akta tersebut.

Operasi pertama dijalankan bersama agensi lain, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang melibatkan 16 premis perniagaan, antaranya pasar raya, kedai kain, kedai gunting, kedai makan, pusat mengumpul palet dan industri kecil sekitar Pekan.

Timbalan Penolong Pengarah Tinggi Imigresen Pahang, Mohd Rosli Mat Nun berkata, hasil pemeriksaan ke atas premis tersebut mendapati, sembilan menggaji pekerja asing secara tidak sah.

Menurutnya, sepanjang operasi dari jam 11.15 pagi hingga 5.15 petang itu, 143 warga asing diperiksa.

“Daripada jumlah Pati yang ditahan, warga Kemboja paling ramai iaitu 22 termasuk wanita dan kanak-kanak yang berada di sebuah pusat pengumpulan kayu palet di Jalan Benta Langgar, Pekan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, mereka masuk dan bekerja tanpa dokumen sah,” katanya, semalam.

Rosli berkata, pada masa sama, pihaknya turut menahan lima warga Thailand, lima Myanmar, empat Indonesia dan seorang Pakistan.

Beliau berkata, kebanyakan yang ditahan tidak ada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan langgar syarat permit.

“Dalam operasi berasingan, kita periksa empat rumah dan bilik sewa di sekitar Jalan Tun Ismail, Jalan Bukit Ubi dan Jalan Gambang di sini, kelmarin.

“Hasil operasi jam 12 tengah malam hingga 1 pagi itu, 20 warga asing terdiri daripada warga Indonesia, Thailand, India dan Myanmar diperiksa dan 15 ditahan,” katanya.

Mohd Rosli berkata, pihaknya mendapati warga asing yang bekerja di sektor peruncitan dan perkhidmatan kini lebih cenderung menyewa bilik sewa di bangunan kedai.


0 comments:

share2