Alasan pernah memohon sijil halal dijadikan ‘lesen’ oleh pemilik sebuah kilang makanan ringan di sini untuk menggunakan logo halal pada pek produk dikeluarkan bagi mengelabui mata pengguna.
Bagaimanapun, perbuatan tidak bertanggungjawab pengusaha terbabit terbongkar apabila premis kilang di Kawasan Perindustrian Semambu di sini diserbu sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang bersama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dan Majlis Perbandaran Kuantan(MPK) semalam.
Hasil pemeriksaan bersama tiga agensi terbabit mendapati kilang produk makanan ringan yang baru beroperasi sejak Februari lalu itu bukan pemegang sijil halal namun menggunakan logo itu sesuka hati pada bungkusan makanan yang dikeluarkan.
Hasil pemeriksaan kira-kira jam 11 pagi itu, sebanyak 85,000 pek makanan daripada 12 jenis produk bernilai kira-kira RM16,972 dirampas untuk siasatan lanjut.
Pengarah KPDNKK Pahang, Sharuddin Jali berkata, hasil maklumat, pihaknya bersama pegawai dari Jaip dan MPK ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan secara bersama.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kilang tersebut tidak memiliki sijil halal namun pengusaha sewenangnya menggunakan logo halal dengan alasan permohonan sudah dibuat.
“Sebelum ini pengusahanya pernah mendapat kelulusan sijil halal ketika beroperasi di premis lama namun kebenaran itu belum dikeluarkan selepas operasi berpindah ke sini (premis baharu),” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sharuddin berkata, produk makanan yang dihasilkan di kilang itu untuk pasaran tempatan dan eksport.
“Kita mengambil tindakan merampas produk-produk yang tertera logo halal untuk siasatan bagaimanapun operasi kilang masih boleh diteruskan.
“Bagaimanapun kita memberi amaran kepada pengusahanya supaya tidak menggunakan bungkusan yang tertera logo halal sehingga kelulusan dikeluarkan.
“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 8(a) Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM200,000 dan bagi kesalahan kedua, denda digandakan kepada tidak lebih RM500,000,” katanya.
0 comments:
Post a Comment