Kuala Lumpur – Tindakan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad yang melepaskan gian untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi di pekarangan Parlimen menarik perhatian kakitangan serta petugas media di sana.
Menerusi klip video yang dimuat naik menerusi portal SuaraTV, Noraini dilihat sedang menunggang motosikal milik rakannya hanya kerana ingin melepaskan gian setelah sekian lama meninggalkan hobi tersebut.
Menurut Noraini, beliau sememangnya amat menggemari aktiviti menunggang motosikal malah pernah menyertai beberapa konvoi besar suatu ketika dahulu.
“Ia berlaku secara tak sengaja sebab itu motor kawan saya.
“Saya dah lama memiliki lesen B dan dulu semasa mewakili Puteri Umno, saya juga pernah terlibat dalam konvoi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebab dulu saya ada motor sendiri tapi sekarang tinggal helmet sahaja.
“Sebab (sebagai) orang kampung memang (kami) selalu bawa motor, cuma saya kecil-kecil dahulu hanya mampu naik Vespa dan sejak usia 16 tahun (saya) sudah dapat lesen pertama,” katanya seperti yang dipetik oleh portal berkenaan.
Dalam pada itu, Noraini memaklumkan bahawa beliau sudah hampir setahun tidak menunggang motosikal yang sebelum ini menjadi rutin dan hobinya.
0 comments:
Post a Comment