Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, February 11, 2016

TWEET MENTERI @dhzhamzah KALAU PENIAGA LANGGAR PERATURAN


Tweet menteri @dhzhamzah kalau peniaga langgar peraturan


Putrajaya - Orang ramai digesa memberi idea dan cadangan mengenai tindakan yang perlu dikenakan ke atas peniaga yang degil dan melanggar peraturan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, cadangan boleh dibuat menerusi akaun twitter rasmi kementerian, mykpdnkk atau akaun twitter peribadi beliau, @dhzhamzah. 

Beliau membuat gesaan itu berikutan ada segelintir pengguna yang tidak mematuhi peraturan skim berkenaan semasa sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.

"Perbuatan itu dikesan dalam satu operasi kementerian selama seminggu dari 3 Februari sehingga hari ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas turun padang meninjau operasi Ekspres Rail Link Sdn Bhd (ERL) dari Putrajaya Sentral ke KL Sentral, Hamzah berkata, sejak 3 Februari hingga 10 Februari sebanyak 20,000 pemeriksaan dijalankan dan 216 kes (peniaga tidak mematuhi peraturan) dikesan.

"Dalam tempoh tersebut, jumlah rampasan bernilai RM24,845 sementara nilai kompaun adalah RM31,282.

"Ini menunjukkan ada peniaga yang tidak mengikut syarat yang ditetapkan," katanya.

Jelas beliau, dalam tempoh yang sama, kes peniaga menjual melebihi harga maksimum melibatkan rampasan bernilai RM8,603 dan nilai kompaun sebanyak RM2,450.

"Kes gagal tunjuk tanda harga khas yang berwarna merah jambu pula adalah sebanyak 170 kes dengan jumlah kompaun RM23,232 dan nilai rampasan RM13,864," katanya.

Tambah Hamzah, bagi kes tidak meletakkan tanda harga langsung, 42 tangkapan dibuat dengan kompaun bernilai RM5,200 dan nilai rampasan RM2,378.


0 comments:

share2