Tidak kira tua atau muda, anda akan lihat pelbagai gelagat dan aksi manusia apabila berhadapan dengan telefon mudah alih. Walau di mana-mana tidak kira tempat tanpa mengira pagi petang siang malam ada sahaja natizen yang memuat naik gambar atau status terbaru di laman sosial Facebook, Instagram, Twitter, Aplikasi WhatsApp, Telegram dan bermacam lagi.
Tidak kiralah posting tersebut berbentuk video, artikel, atau gambar selfie. Mereka begitu asyik memeriksa berapa jumlah likes, komen dan share yang dapat dikumpulkan hasil daripada posting di dinding akaun laman sosial masing-masing. Jika ada yang mengomen, sibuk pula membalas komen yang ada, jika kurang likes atau share mereka akan memuat naik post yang baru atau gambar selfie lain pula. Macam-macam!
Inilah fenomena baru yang berlaku semenjak wujudnya laman sosial di internet. Ramai dalam kalangan pengguna laman sosial menghadapi ketagihan baru dalam kehidupan mereka iaitu suka berselfie, lantaran terlalu obses kepada laman sosial. Kebanyakannya tidak sedar mereka sebenarnya sedang mengalami gangguan personaliti kerana terlalu sibuk dengan keterampilan diri sehingga mampu membentuk sifat pentingkan diri.
Persoalannya adakah selfie dibenarkan dalam Islam? Timbul pelbagai isu sejak wujudnya sindrom selfie di laman sosial. Tambahan pula fakta penceraian di negara kita yang semakin kritikal, dengan satu pasangan untuk setiap 15 minit mewujudkan pelbagai spekulasi dan tanda tanya sejauh manakah ketagihan ini mengundang kepada keretakan hubungan suami isteri.
Dalam Islam tidak salah memperlihatkan kelebihan diri, namun tidak semua saluran adalah sesuai untuk menonjolkan diri anda. Pendakwah, Ustaz Asrulnizam Abas memberikan contoh, tidak salah seorang wanita yang ingin dilihat cantik, namun memperlihatkan kecantikan diri kepada yang bukan muhrim itulah yang mencetuskan fitnah dan hukumnya adalah haram. Lebih-lebih lagi apabila selfie di laman sosial dengan harapan mendapat pujian daripada orang lain. Lebih buruk dari itu, mereka sanggup mengubah gaya penampilan diri semata-mata untuk selfie. Begitulah juga halnya kepada lelaki.
"Kalau dahulu tak ramai orang boleh menonjolkan keterampilan diri mereka di hadapan orang lain sebab biasanya ia melibatkan individu untuk tampil di dalam sesuatu majlis atau di khalayak ramai. Tetapi sejak adanya laman sosial selfie atau mengambil gambar sendiri ni mula menjadi satu sindrom dalam kalangan masyarakat. Lebih kronik dalam tiga tahun kebelakangan ini sindrom ini mula menampakkan kesan negatif dalam kehidupan seharian.
"Selfie pada awalnya menjadi satu kata nama sahaja atas maksud berfoto secara sendiri, namun kerana ia mula diguna pakai secara meluas, maka selfie telah menjadi satu kata kerja sepertimana perkataan Google di laman carian," katanya kepada Rehal.
Walaupun sindrom selfie ini lebih didominasi oleh wanita, namun lelaki juga masih terdedah dalam sindrom ini.
Tidak semua orang berani berselfie. Cuba bayangkan, berselfie kemudian memuat naik pula di laman sosial.
"Secara positifnya selfie dapat meningkatkan keyakinan diri apabila berhadapan dengan khalayak ramai. Sudah pastinya orang yang suka selfie lebih menjaga penampilan dan personaliti mereka kerana tidak mahu mereka dihentam di media sosial nanti.
"Dari aspek bisnes pula, selfie adalah sebahagian strategi dan saluran untuk usahawan-usahawan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka. Di zaman kontemporari ini berselfie dengan produk, dengan selebriti, dengan organisasi-organisasi tertentu untuk membina kepercayaan bakal pelanggan terhadap bisnes mereka," katanya.
MENURUT Ustaz Asrulnizam, antara lain sisi positif selfie adalah ia juga menjadi satu 'tracking' dan bahan siasatan kepada pihak berkuasa seandainya individu atau mangsa mengalami musibah atau kemalangan. Bahkan mungkin boleh menjadi bahan bukti dalam mana-mana kes perbicaraan di mahkamah.
DEDAH AURAT
Melihatkan kepada kadar penceraian yang semakin meruncing hari ini, laman sosial dan selfie dilihat menjadi faktor utama menyumbang kepada masalah ini. Di sinilah perlu ditelitikan sejauh mana selfie ini wajar dan tidak wajar berlaku.
Beliau yang juga Perunding Latihan di Inner Inspiration Training & Consultancy berkata lagi, sebagai wanita Muslimah, dalam bersosial, membuka aurat untuk individu yang bukan mahram adalah haram kerana tubuh badan wanita kehormatan yang perlu dijaga.
Hayati firman ALLAH: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) ALLAH adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Ahzab: 59)
"Misalnya, media sosial hari ini sungguh pantas tersebar. Bayangkan anda memuat naik sekeping gambar selfie diumpamakan anda berjalan ke seluruh dunia. Ramai orang akan melihat dan pasti ada yang klik share, sama ada baik atau buruk ia tetap menjadi fitnah kepada orang lain," ujar lagi.
Di media sosial, orang yang melihat gambar anda berselfie tidak semuanya berniat baik. Pastinya individu yang tidak baik mempunyai pelbagai idea yang boleh merosakkan hidup anda. Inilah yang wanita Muslimah perlu fikir apabila berselfie. Mendedahkan aurat pada seorang pun dah berdosa, cuba bayangkan jika gambar selfie anda menjadi viral di laman sosial?
PELIHARA AIB
Ustaz Asrulnizam menambah, usah bersalah sangka, apa yang dinyatakan bukan bermakna selfie itu berdosa sepenuhnya. Jika niat dan cara anda baik maka selfie anda akan memberikan kesan positif pada orang lain.
"Perkara pokok yang perlu diberikan perhatian juga ialah anda perlu menjaga sensitiviti semua pihak ketika selfie. Tidak semua situasi boleh berselfie. Adalah tidak sesuai jika menziarahi kematian pun nak berselfie, kerana ia pastinya mengaibkan keluarga si mati.
"Lebih-lebih lagi ada juga yang berselfie ketika melihat mangsa kemalangan jalan raya, atau sesiapa yang ditimpa musibah, percayalah anda sedang merakam keaiban mereka dan menyebarkannya kepada orang lain pula. Pastinya ia memalukan kepada mereka yang terlibat. Tidak kurang juga yang berselfie di tanah perkuburan kerana menziarahi perkuburan keluarga atau sahabat handai," tegasnya.
Menurutnya, perkara seumpama ini dilihat sebagai sensitiviti yang perlu dielakkan kerana kubur adalah simbol untuk menunjukkan keinsafan dan kesedaran diri kita kepada ALLAH SWT. Sudah pasti apabila sindrom selfie di perkuburan semakin meluas, orang akan melihat ia bukan lagi sesuatu yang memberikan kesedaran, bahkan mencetuskan trend yang tidak baik pula.
Dek kerana asyik selfie dan ingin dilihat popular, individu tersebut terlupa bahaya yang diundang secara tidak langsung. Perlu diingat di luar sana, ada ramai orang melihat dan membaca psikologi anda. Apa yang anda suka, di mana anda suka pergi, apa status anda, apa rutin anda setiap hari, pastinya menjadi maklumat bagi mereka yang menjadi pengikut anda di laman sosial. Tidak semua follower anda benar-benar suka kepada anda, ada juga sebahagiannya benci dan mengambil peluang untuk mengganggu ketenteraman anda.
Ada juga dalam kalangan individu yang berselfie mengikut kronologi yang memudahkan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab menyusun strategi untuk pecah masuk ke dalam rumah, merompak atau menculik seseorang. Apa tidaknya, jika anda berselfie setiap selang masa tertentu, pastinya memudahkan orang lain mengetahui struktur susun atur di rumah dan juga mengetahui jadual peribadi anda.
Rutin hidup anda adalah rahsia dan aib. Tidak semua perlu dimaklumkan pada umum sekalipun anda mungkin seorang yang popular.
Tetapi bagaimana pula jika musibah yang datang kerana yang buka aib tersebut adalah diri sendiri? Inilah jerat yang mungkin akan mengena diri sendiri balik. ALLAH telah memberikan amaran kepada kita agar tidak mendorong diri kita ke dalam kerosakan melalui Surah Al-Baqarah ayat 195.
SELFIE & SKANDAL
Ustaz Asrulnizam menegaskan sindrom selfie semakin kronik apabila ada sebahagian mereka yang berselfie tanpa segan silu berposing di bilik tidur, atau berselfie dengan aktiviti-aktiviti bersentuhan, berpegangan dengan bukan muhrim atau melakukan perkara yang maksiat.
"Tidak kurang juga selfie yang mencetuskan pelbagai bentuk skandal melibatkan suami dan isteri orang lain. Ramai yang berselfie, tidak sedar akan status mereka telah berkeluarga. Jika isteri, berselfie sepanjang masa tanpa orang lain sedar adakah dia isteri orang ataupun masih anak dara, begitulah juga halnya jika dia seorang lelaki.
"Situasi ini pasti membawa kepada skandal kerana ramai yang beranggapan bahawa yang berselfie masih lagi berseorangan dan tidak kisah untuk berkenalan. Lama kelamaan perkenalan bertukar menjadi skandal sulit yang akan menghancurkan bahtera rumah tangga yang dibina bertahun-tahun," nasihat beliau lagi.
Ingatlah berselfie kini termasuk dalam perbuatan yang mudah mencetuskan dosa kepada kita. Baik dan buruk selfie adalah bergantung kepada sejauh mana fitnah yang boleh terjadi daripada aktiviti anda berselfie.
Sebelum nasi menjadi bubur, lebih baik koreksi diri!.
Info
-Selfie perkataan baru yang mula digunakan sekitar tahun 2013.
- Ia berkonsepkan aktiviti mengambil gambar sendiri untuk mendapat perhatian orang lain.
- Kajian yang dijalankan Pusat Penyelidikan PEW, disiarkan dalam www.forbes.com menunjukkan, 91 peratus aktiviti selfie didominasi golongan remaja.
- Bahkan fenomena ini mula merangsang golongan yang lebih dewasa terutamanya kaum wanita.
0 comments:
Post a Comment