
Labis - Beberapa penduduk di Perumahan Awam Labis, di sini, resah dan mengalami kegatalan seluruh badan apabila kawasan kediaman mereka diserang ribuan ulat bulu sejak seminggu lalu.
Penduduk, Zahid Abdul Ghani, 38, yang sudah lapan tahun tinggal di kawasan itu berkata, ia bukan pertama kali rumahnya diserang ulat bulu dan boleh dikatakan setiap tahun serangga tersebut akan muncul terutamanya ketika musim panas atau kemarau.
“Yang peliknya, kami di sini tak tahu dari mana datangnya ulat bulu ni semua kerana ia hanya merayap atas tanah dan tiada seekor pun yang saya jumpa di pokok seperti kebiasaannya.
“Kebiasaannya, ulat bulu ni akan keluar dengan banyak pada waktu pagi sebelum hilang menjelang tengah hari.
“Masalah serangan ulat bulu ini akan berlarutan kira-kira dua atau tiga minggu sebelum ia hilang begitu sahaja,” katanya.
Namun kata Zahid, keadaan menjadi lebih serius sejak beberapa hari lalu apabila kewujudan ulat bulu sepanjang antara tiga hingga lima sentimeter itu semakin bertambah dan mula memasuki ke dalam rumah penduduk.
Seorang lagi penduduk, Mohsin Bachok, 49, berkata, dia terpaksa menggunakan racun serangga untuk membunuh ulat bulu tersebut apabila ia merayap pada pakaian di ampaian dan di dalam rumah, namun mendapati cara itu kurang berkesan.
“Saya sekeluarga rasa tak selesa disebabkan keadaan ini dan terpaksa ambil langkah berjaga-jaga walaupun dalam rumah kerana tak mahu mengalami gatal-gatal serta bengkak di bahagian kulit.
“Disebabkan kehadiran ulat bulu tersebut, kebanyakan kanak-kanak tak boleh bermain di luar rumah kerana bimbang alami gatal-gatal. Keadaan ini sedikit sebanyak mengganggu aktiviti harian kami di sini,” katanya.
Menurutnya, sejak lebih setahun tinggal di sini, pertama kali dia berdepan masalah serangan serangga tersebut walaupun menurut jirannya kejadian serupa pernah berlaku beberapa kali sebelum ini.
K. Nagamah, 53, pula berkata, dia terpaksa membawa cucunya, V. Pertivan, 8, mendapatkan rawatan di klinik beberapa hari lalu selepas mengalami gatal-gatal dan bengkak pada bahagian badan selepas bermain di luar rumah.
“Setiap pagi saya terpaksa bunuh ratusan ekor ulat bulu yang merayap di lantai bahagian hadapan rumah dan keadaan lebih buruk pada waktu malam kerana ada kala ia merayap atas tilam menyebabkan cucu saya diserang gatal serta miang.
“Saya berharap pihak berkenaan dapat bantu kami menyelesaikan masalah ini kerana saya bimbangkan kesihatan kami sekeluarga. Buat sementara ni saya terpaksa tutup tingkap dan pintu rumah sentiasa,” katanya.

0 comments:
Post a Comment