Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa supaya bertegas dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap kesalahan fitnah dan hasutan yang dilihat semakin berleluasa ketika ini.
Timbalan Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Datuk Seri Zakwan Hafiz Ahmad Ansari berkata, kesan fitnah dan hasutan mendatangkan keburukan yang serius terhadap rakyat mahupun negara.
Oleh itu, katanya, PDRM perlu melakukan penguatkuasaan dan ketegasan secara konsisten terhadap penguatkuasaan undang-undang di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
“Penyebaran fitnah dan hasutan ini berlangsung secara berleluasa. Keadaan ini menyebabkan rakyat berasa cemas.
“Polis perlu ambil tindakan yang tegas tanpa mengira pangkat terhadap pihak yang melakukan kesalahan,” katanya selepas menyerahkan memorandum menuntut PDRM bertegas menangani kesalahan fitnah dan hasutan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.
Memorandum tiga muka surat itu diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman, Asisten Superintendan Noor Bashira Budin, kira-kira jam 11.30 pagi.
Memorandum itu merangkumi cadangan hukuman untuk pemfitnah dan penghasut antaranya memberkas pesalah dan mendakwa dengan segera serta mengenakan hukuman setimpal terhadap ahli politik yang didapati bersalah terhadap dua kesalahan tersebut.
Dalam pada itu, Zakwan Hafiz mencadangkan supaya PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berbincang dalam menentukan bidang siasatan terhadap dua kesalahan itu.
“Kami tidak mahu berlaku tolak menolak kes dan perbalahan. Sebelum ini kami nilai ada kes yang terlepas pandang.
“Jadi kami minta Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) dan SKMM berbincang. Itu yang paling penting,” katanya.
0 comments:
Post a Comment