Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 7, 2016

OLA BOLA JADI BUALAN DI LAMAN SOSIAL


Ola Bola jadi bualan di laman sosial


Genre sukan jarang diangkat dalam sesebuah filem. Alasannya, kurang mendapat sambutan penonton. Oleh kerana itu filem-filem genre ini sukar mendapat kepercayaan produser. Namun, filem Ola Bola membuktikan penerimaan masyarakat apabila plot sukan yang diketengahkan berjaya mencuri tumpuan.

Setakat ini kutipan filem tersebut mencapai RM2.5 juta hanya empat hari ditayangkan. Ola Bola bukan hanya berkisar permainan bola sepak, sebaliknya terdapat banyak elemen menarik yang begitu dekat dengan masyarakat. Filem yang boleh disebut sebagai '1Malaysia' ini mewakili kaum-kaum utama di negara ini.

Banyak mesej terselit dan diterjemahkan begitu baik sehingga terkesan di hati penonton. Antaranya semangat patriotisme, kasih sayang antara keluarga dan sahabat, disiplin serta menghargai apa juga yang berada di depan mata. Lengkap!

Sejak hari pertama ditayangkan pada 28 Januari lalu, filem Ola Bola mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat tempatan. Ada yang boleh menerima sukan bola sepak diangkat dalam filem, ada juga yang merasakan filem ini belum sampai tahap terbaik.

Malah, tidak kurang yang menolak tanpa mengenali filem ini dengan lebih dekat.

Kebanyakan pelayar laman sosial yang berkongsi mengenai filem ini memuji 'keunikan' yang diangkat pengarah dan produser yang dianggap 'berani mati' untuk menghasilkan Ola Bola.

Bagi mereka, inilah pembukaan tirai 2016 terbaik bagi industri perfileman tempatan. Tidak hanya jalan cerita menjadi bualan, malah ramai memuji sinematografi yang begitu indah seakan-akan menonton dokumentari.

Hijau bumi dan suasana 1980-an itu hidup di dalam filem ini. Semuanya nampak sempurna! Ditambah keharmonian hidup dalam suasana masyarakat majmuk ketika itu, menyuntik rasa kasih dan sayang penonton kepada rakan, jiran mahupun sesiapa yang tidak dikenali tanpa ada sebarang rasa prejudis terhadap kaum lain.

Rata-rata penonton dan netizen meluahkan rasa gembira kerana mampu melahirkan filem yang hebat sekali gus berjaya melambangkan cerminan masyarakat majmuk di negara ini.

Menurut pelayar laman sosial Twitter yang hanya menamakan diri sebagai @jangankolot berpendapat Ola Bola bukanlah filem bola sepak semata-mata sebaliknya sebuah filem Malaysia sambil menyelitkan gambar setiap karakter dengan wira bola negara.

@nashz95 juga bersetuju dengan pendapat @jangankolot sambil menambah Ola Bola adalah filem muhibah yang paling terbaik untuk ditonton.

Pendapat sama turut dikongsi @Anne_mokhtar. Katanya, Ola Bola adalah filem yang wajib ditonton kerana ia memberi semangat juang.

Pada masa sama, pelayar Twitter @huechronicles merasakan filem arahan Chiu Keng Guan itu membuatkan dirinya berbangga menjadi rakyat Malaysia.

Bagi @nikynurfadzlin pula kehadiran filem Ola Bola membuatkannya percaya yang Malaysia masih mampu menghasilkan filem terbaik.

Tidak ketinggalan, pelakon terkenal Ida Nerina yang berpendapat filem ini menyebabkan masyarakat lebih menghargai sukan bola sepak tanah air.


0 comments:

share2