Pas Pahang menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa segera mengambil tindakan bagi membendung kegiatan pelacuran melibatkan warga asing di Kuantan.
Ketua Penerangannya, Nazri Ahmad berkata, kegiatan tidak bermoral itu boleh mencemarkan imej bandar Kuantan yang kini berdepan isu perlombongan bauksit.
Menurutnya, pelacuran adalah gejala sosial yang perlu ditangani bagi mengelak kesan buruk kepada masyarakat.
“Jika sebelum ini Kuantan dicemari dengan perlombongan bauksit tetapi pendedahan terbaru menunjukkan ibu negeri Pahang ada tempat pelacuran,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, pihak berkaitan diminta melihat isu pelacuran itu dengan lebih serius bagi menyekat aktiviti tersebut.
Rabu lalu Sinar Harian mendedahkan wujud aktiviti pelacuran melibatkan warga asing di Jalan Pasar, Kuantan yang beroperasi tanpa mengira waktu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Mohamad Noor Abdul Rani ketika dihubungi berkata, penguatkuasaan syariah Pahang adalah tertakluk dengan undang-undang syariah.
Menurutnya, Jaip sentiasa melakukan operasi bersepadu khususnya pada tarikh-tarikh tertentu, termasuk sambutan Hari Valentine dan Tahun Baharu.
Beliau berkata, isu pelacuran yang didedahkan itu turut membabitkan agensi lain dan penguatkuasaan Jaip hanya tertakluk kepada undang-undang syariah.
“Kita memandang serius perkara ini kerana membabitkan umat Islam dan akan melakukan pemeriksaan drastik," katanya.
0 comments:
Post a Comment