Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 15, 2016

[KUANTAN] NENEK TERPAKSA TIPU WENG EE


Nenek terpaksa tipu Weng Ee


"Saya terpaksa tipu cucu saya dengan mengatakan bahawa ibu, ayah dan abang dia tunggu di rumah walaupun hakikatnya mereka bertiga sudah tiada,” kata Rokiah Neng.

Warga emas berusia 54 tahun itu adalah nenek Foo Weng Ee,8, yang terselamat dalam kemalangan meragut empat nyawa di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran kawasan Cenderawasih Rompin awal pagi kelmarin.

Rokiah berkata, ketika kejadian, anaknya Salamiah Ating, 33, dan menantunya, Foo Kam Long dalam perjalanan pulang selepas menghantar anak saudara ke Rompin.

Menurutnya, setiap kali terjaga dari tidur, Weng Ee akan bertanya mengenai keluarganya terutama abangnya, Wei Quan yang berusia 10 tahun.

“Saya tak sanggup beritahu perkara sebenar kepada cucu saya. Biarlah dia sihat dahulu dan apabila tiba masanya nanti, saya akan terangkan keadaan sebenar.

“Dia memang rapat dengan abangnya dan mereka juga selalu tidur bersama. Kehilangan ahli keluarga ini bukan sahaja memberi kesan kepada Weng Ee, tetapi kami semua," katanya.

Rokiah yang tinggal di Labis, Segamat Johor berkata, walaupun sedih, dia reda dengan kejadian menimpa tiga beranak itu. 

Katanya, dia akan memikul tanggungjawab menjaga Weng Ee dan kakaknya Foo Kei Ee, 13, yang terselamat kerana tidak mengikut ahli keluarganya ke Rompin.

Weng Ee yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) berada dalam keadaan stabil dan mengalami kecederaan di muka selain patah kaki kiri.

Dalam pada itu, tiga ahli keluarga kanak-kanak itu yang terkorban selamat disemadikan di kampung mereka di Labis.


0 comments:

share2