Pernah disimpan seperti besi buruk di dalam reban ayam suatu ketika dahulu, tetapi kini sangat digeruni setiap pemilik motosikal klasik tempatan, lebih-lebih lagi kekerapannya memenangi pertandingan autoshow di seluruh negara.
Bagi kategori klasik ubah suai atau terbuka yang disertai, motosikal Honda S90 keluaran 1974 dimiliki Hishamuddin Md Rashid, 45, pasti menaiki podium setiap pertandingan yang disertainya.
Kelibatnya dalam pertandingan autoshow membuat pesaing lain takut untuk bertanding bagi menewaskan juara bertahan yang menaiki podium utama sehingga 37 kali sepanjang 16 tahun terbabit dalam bidang berkenaan.
Kejuaraan itu diperoleh setelah menyertai banyak pertandingan termasuk Malaysian Champion Classic.
Berikutan pencapaiannya yang memberangsangkan, pemilik yang lebih mesra dengan panggilan Kojeq berasal dari Taiping ini berhasrat untuk bersara daripada memasuki autoshow dan mahu mendalami ilmu penjurian pertandingan motosikal klasik.
Motosikal berharga RM200
Hishamuddin berkata, motosikal itu dibeli daripada seseorang dengan hanya harga RM200, namun kini setelah diubah suai harganya mencecah puluhan ribu ringgit.
“Malah sehingga kini saya telah membelanjakan lebih RM13,000, selain sanggup ke Thailand bagi mencari aksesori yang semakin sukar diperoleh di Malaysia,” katanya yang mula aktif mengubah motosikal sejak 2000 kepada Sinar Harian, di sini, baru-baru ini.
Tambahnya, dia sendiri tidak menyangka usahanya menyertai pelbagai pertandingan autoshow kategori terbuka klasik seluruh negara mendapat perhatian juri.
“Setiap kemenangan yang berjaya diraih ini sebenarnya menjadi pembakar semangat saya untuk menjadi yang terbaik dalam setiap pertandingan yang disertai,” katanya.
Guna tema Ghost Rider
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, dalam pertandingan baru-baru ini, motosikalnya menggunakan tema Ghost Rider berwarna oren menjadikannya lebih garang dan lain daripada yang lain.
“Saya memang amat gembira kerana usaha saya selama ini dihargai dan membuahkan kejayaan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hishamuddin berkata, bermula dengan semburan cat di Ozi Airbrush di Batu Gajah, Perak bertemakan watak masyarakat Orang Asli Amerika iaitu Red Indian sebelum ini, kini motosikal itu tampil berkonsepkan watak komik dan filem, Ghost Rider.
Rekaannya lebih menyerlah dengan watak tengkorak Ghost Rider digantikan wajah pemiliknya pada tangki petrol serta topi keledar.
Bagi komponen enjin, lampu hadapan dan belakang, pemilik mengekalkan yang asal supaya mahu tampak klasik biarpun jentera itu banyak menerima sentuhan.
Kerap menang pertandingan autoshow motosikal klasik seluruh negara moden.
“Beberapa komponen khas seperti cakera brek serta penyejuk enjin turut dipasang berikutan mahu berbeza berbanding motosikal lain yang menyertai pertandingan.
“Ia juga dipadankan dengan rim aloi 18 inci, selain tudung rim dikenakan cat semburan supaya tampak garang dan bersesuaian dengan konsep Ghost Rider,” katanya.
Tambah Hishamuddin lagi, motosikal itu pernah menerima ‘pinangan’ untuk dibeli dengan harga setinggi RM22,000, namun, Hishamuddin tidak berhasrat melepaskan ‘buah hati’ kesayangannya yang banyak kali menaikkan namanya di persada dunia permotoran tanah air.
Profil
Nama: Hishamuddin Md Rashid
Umur: 45 tahun
Nama Samaran: Kojeq
Asal: Taiping
Pekerjaan: Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Larut Matang dan Selama
Status: Berkahwin
Bilangan anak: 3 orang
0 comments:
Post a Comment