Keperitan seorang ibu tunggal, Nor Azila Md Tam, 54, menyara tiga anak istimewanya mendapat perhatian ramai setelah kisahnya disiarkan Sinar Harian, 12 Februari lalu.
Menurutnya, dia bersyukur kerana ramai individu prihatin menghulurkan sumbangan kewangan untuk mengurangkan beban ditanggungnya.
"Sejak kisah anak-anak saya disiarkan, rezeki tak putus-putus... ada saja sumbangan diberikan.
"Ada yang masukkan dalam akaun bank selain datang serah sendiri pada kami.
"Selain sumbangan wang, ada juga yang bagi kerusi roda," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Nor Azila berkata, orang ramai termasuk kenalan arwah suaminya turut memberikan sokongan moral.
"Sahabat arwah suami ada hubungi saya, bertanya khabar dan minta saya tabah menghadapi dugaan.
"Malah, ada juga seorang yang ada anak istimewa datang ke sini selepas baca kisah kami. Masing-masing berkongsi pandangan, nasihat dan kata-kata semangat.
"Terima kasih pada semua yang membantu... menjaga tiga anak istimewa seorang diri bukan mudah, tapi saya perlu kuat sebab mereka amanah yang perlu saya jaga," katanya.
Dalam pada itu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman turut melawat Nor Azila yang tinggal bersama empat anaknya, Abdul Hakim Mohd Noor, 27; Afiqah (25); Aqimah (23) dan Abdul Rashid (22) di rumah mereka, di sini.
Dalam lawatan itu, sebuah kerusi roda diserahkan untuk kemudahan Afiqah dan Aqimah.
Norol Azali berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan kerusi roda khas untuk Abdul Rashid memandangkan keadaan fizikalnya tidak sesuai dengan kerusi roda biasa.
"Abdul Rashid ini tidak boleh duduk dan kerap terbaring. Jadi, kita kena cari kerusi roda khas untuk dia dan mungkin akan mengambil masa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Adun Guai memaklumkan, ada membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengkaji penubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di sekitar kampung tradisional bagi memudahkan anak istimewa seperti tiga beradik itu mendapatkan pendedahan.
0 comments:
Post a Comment