Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 24, 2016

TIGA RUMAH ROSAK DIBALING MERCUN KELAPA


Tiga rumah rosak dibaling mercun kelapa


Seberang Jaya - Tiga rumah rosak teruk akibat terkena letupan dipercayai mercun kelapa yang dilemparkan ke halaman sebuah rumah teres di sini pagi semalam.

Kejadian di Taman Sembilang, Seberang Jaya itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.30 pagi.

Difahamkan, salah sebuah dari rumah terbabit juga dibaling dengan cat kuning yang dibungkus dengan plastik minuman.

Cat berkenaan juga terkena sebuah motosikal, kereta, lantai dan dinding luar rumah berkenaan.

Ketika kejadian, penghuni rumah yang menjadi sasaran letupan dikenali Azman, 30, bersendirian menonton televisyen di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan itu.

“Saya terdengar enjin motosikal berlegar-legar di hadapan rumah, namun tidak mengesyaki apa-apa kerana sudah biasa mendengar kenderaan melalui kawasan ini.

“Bagaimanapun, tiba-tiba saya ternampak seperti cahaya api dari tingkap rumah yang datang dari luar. Bimbang perkara buruk berlaku, saya terus berlari naik ke tingkat atas untuk menyelamatkan diri," katanya.

Beliau kemudian mendengar dua letupan kuat dari luar menyebabkan rumahnya seakan-akan bergegar.

“Letupan itu menyebabkan tiga pintu rumah saya tertanggal, tingkap cermin pecah dan atap di bahagian hadapan runtuh selain terdapat kebakaran kecil pada pintu hadapan.

"Kesan letupan di bilik hadapan juga agak teruk apabila dua pintu kayu tertanggal dan barangan berselerak selain kaca tingkap pecah memenuhi atas katil," katanya.

Setelah diperiksa, tiga rumah jiran turut terkena impak letupan itu menyebabkan bumbung rumah mereka retak dan cermin tingkap pecah.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana dan isterinya selamat.

"Ibu bapa saya tinggal bersama saya namun ketika kejadian, mereka pulang ke kampung di Kulim, Kedah. Selalunya mereka akan tidur di bilik hadapan iaitu tempat yang paling teruk terkena letupan. Saya tidak dapat bayangkan jika kedua-dua tidak balik kampung," katanya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Shukor Ahmad Shahabudin, 41, sempat menolong jiran sebelah rumahnya itu memadamkan kebakaran sebelum menyedari rumahnya turut menjadi sasaran apabila dibaling bungkusan cat.

“Ketika balik ke rumah, baharulah saya sedar kesan cat kuning yang dibaling ke dinding luar rumah sehingga terkena kereta, motosikal dan lantai.

“Sebelum itu saya hanya menyedari rumah jiran yang terkena (letupan mercun). Saya percaya, perbuatan melempar cat dilakukan serentak dengan serangan mercun itu. Saya dan Mohd Hilal bingung memikirkan kejadian ini kerana kami tidak mempunyai musuh selain tidak terbabit dengan kegiatan peminjam wang haram," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor ketika dihubungi berkata, siasatan mendapati kesan letupan itu adalah akibat mercun ‘high power’.

“Dua suspek yang menunggang motosikal dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

“Siasatan turut mendapati motif kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan urusan pinjaman wang dengan syarikat tanpa lesen,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan bahan api atau bahan letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.


0 comments:

share2