Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 17, 2016

PULAU PINANG PATUT BATAL TAMBAK LAUT

IR. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN



SHAH ALAM - Pemuda Pas memandang serius kenyataan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan aktiviti penambakan laut untuk membiayai kos projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri yang berjumlah RM27 bilion.

Naib Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, dalam menangani isu ini Pemuda Pas berpendapat Kerajaan Negeri Pulau Pinang seharusnya mencari kaedah alternatif bagi menambah pendapatan untuk menampung kos projek tersebut.

"Apa yang dikhuatiri ialah kesan penambakan laut itu akan mendatangkan mudarat atau ketidakseimbangan ekosistem hingga memusnahkan habitat hidupan laut. Tindakan para nelayan mendesak agar projek tersebut dibatalkan adalah amat wajar sekali.

"Kerajaan negeri sepatutnya memajukan kawasan-kawasan seperti di Daerah Barat Daya Pulau Pinang, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan seperti Pantai Acheh, Balik Pulau, Teluk Bahang, Kota Kuala Muda, Penanti dan Bukit Mertajam yang dilihat agak ketinggalan dari segi pembangunan serta sosio-ekonomi berbanding timur laut Pulau Pinang dan Seberang Perai Tengah seperti Georgetown, Bayan Lepas dan Seberang Jaya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan akhbar sebelum ini menyebut Kon Yeow berkata, projek penambakan laut sekarang dan projek yang telah diluluskan di zaman BN memerintah Pulau Pinang akan diteruskan untuk menjana pendapatan bagi menampung kos pembiayaan PIP.

"Pemuda Pas juga khuatir terhadap projek-projek pembangunan selepas siap projek penambakan laut seperti projek Bayan Mutiara yang mana nilai setiap unit kediaman tersebut pasti tidak mampu ditanggung oleh rakyat biasa.

"Sepatutnya keutamaan harus diberikan kepada projek-projek perumahan mampu milik kerana ia adalah keperluan kebanyakan rakyat pada masa ini.

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang wajar menilai semula polisi pembangunan mereka agar tidak wujud pembangunan tidak seimbang di antara bandar dan luar bandar serta menjadikan keperluan rakyat sebagai keutamaan seperti menyediakan rumah mampu milik di saat harga rumah melambung tinggi dan kos sara hidup yang meningkat.

"Pembangunan yang seimbang adalah sangat penting bagi memastikan tiada rakyat ketinggalan dan tenggelam dalam arus pemodenan dan pembangunan yang pesat," katanya.




0 comments:

share2