Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 5, 2016

PENIAGA VAPE MINTA JAMINAN


Peniaga vape minta jaminan


Kuala Terengganu – Pengusaha vape memohon kerajaan memberi jaminan tiada operasi penguatkuasaan dilaksanakan bagi memberi mereka peluang mendapatkan semula modal perniagaan dalam tempoh enam bulan untuk menghabiskan stok jualan sepertimana diputuskan kerajaan negeri.

Kebanyakan pengusaha yang ditemui, menjalankan perniagaan vape kurang dari setahun, malah ada yang baru tiga bulan berniaga, jadi tempoh diberi kerajaan negeri itu diharap dapat mengumpul semula modal yang dikeluarkan.

Bimbang stok kena rampas

Pengusaha vape, Amir, 25, berkata, dia berniaga dalam keadaan tidak tenteram memikirkan sama ada barang jualannya selamat dan dapat dijual atau sebaliknya dalam tempoh enam bulan diberikan kerajaan negeri.

“Saya berniaga macam biasa, tetapi dalam keadaan tidak selesa dan takut kerana memikirkan dari segi penguatkuasaan.. adakah stok yang ada di sini dapat dijual? Atau mungkin dirampas pihak berkuasa dalam operasi dan sebagainya kerana pernah berlaku di negeri lain.

“Ketika perbincangan bersama menteri besar (kelmarin), perkara ini (penguatkuasaan) tidak dibincangkan dan menambahkan lagi perasaan takut kerana bimbang stok kena rampas, sedangkan pulangan modal pun belum dapat dikutip sepenuhnya,” katanya.

Amir yang mula berniaga September tahun lalu, mengeluarkan modal sebanyak RM65,000 untuk memulakan perniagaan vape di Jalan Kuala Berang, di sini.

Dalam masa sama, Amir berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi tempoh tersebut dan membuat keputusan lebih awal untuk mengharamkan vape.

“Bila kerajaan negeri buat keputusan lebih awal macam ni dan beri tempoh tertentu, sekurang-kurangnya kami dapat jual kepada pengusaha di negeri lain untuk mendapatkan modal, selain mengadakan jualan seperti biasa,” katanya.

Jual dengan harga promosi

Menurut seorang lagi pengusaha vape di Jalan Hiliran yang dikenali sebagai Apex, 25, dalam tempoh enam bulan diberikan kerajaan negeri, dia akan menjual sebotol vape biasa dengan harga promosi, RM26 sebotol.

“Saya letak harga promosi seperti ini dengan harapan dalam tempoh enam bulan, stok barang akan habis.. tetapi masih dapat pusing modal (dapatkan semula kos modal).

“Memandangkan hasil jualan mula jatuh sejak Disember lepas setelah kebanyakan negeri mengharamkan vape, saya ambil keputusan untuk letak harga rendah, dapat untung antara RM1 hingga RM2 sudah cukup,” katanya.

Apex yang baru memulakan perniagaan tersebut dengan menggunakan modal sebanyak RM50,000, tidak menyangka perkara itu (mengharamkan vape) akan berlaku di Terengganu.

Bagaimanapun, dia terpaksa akur dan sekiranya stok masih berbaki setelah tempoh enam bulan tamat, dia akan menjalankan perniagaan secara dalam talian tanpa kedai bagi menghabiskan stok sedia ada.

Mohon segerakan Digital Mall

Sementara itu, bagi pemilik kedai vape di Jalan Sultan Zainal Abidin yang dikenali sebagai Man, 38, dia akur dengan arahan kerajaan negeri untuk menghabiskan stok dalam tempoh enam bulan, cuma dia berharap kerajaan negeri mempercepatkan penubuhan operasi Digital Mall.

“Saya mahu sepanjang tempoh menghabiskan stok vape berjalan, Digital Mall telah disiapkan supaya apabila tempoh itu tamat, kami dapat bertukar terus ke pusat perniagaan baru disediakan kerajaan negeri.

“Kami tidak perlu tunggu terlalu lama untuk memulakan perniagaan di pusat baru. Kami harap selepas enam bulan habiskan stok vape, kami diberi jaminan mendapat pekerjaan yang boleh menampung keluarga dan perbelanjaan lain kerana tidak mahu menganggur terlalu lama,” katanya.

Harap kerajaan ubah fikiran

Tidak kurang juga pengusaha yang menaruh harapan supaya kerajaan negeri dapat mengubah larangan itu dan membenarkan mereka berniaga seperti biasa.

Sementara itu, Afif Farhan Zamre, 23, berharap perniagaannya yang berusia lima bulan, dapat diteruskan, selain ada perubahan dibuat kerajaan negeri berhubung penjualan vape dalam tempoh enam bulan yang diberikan itu.

Afif yang turut menjual secara dalam talian, belum membuat keputusan untuk mengadakan harga promosi atau lelong stok sedia ada, malah akan menambah tempahan sekiranya stok lama habis dalam tempoh tersebut.

“Saya tak tahu nak kata apa, tapi tak terfikir langsung hendak tutup kedai, berhenti jual vape dan sebagainya kerana mengharapkan kerajaan berubah fikiran.

“Tempoh enam bulan masa yang agak panjang dan segalanya mungkin boleh berubah.. itulah yang saya harapkan. Sebab itu saya tak terfikir apa-apa, malah mahu teruskan jualan seperti biasa,” katanya yang turut mempunyai mod dengan jenama sendiri, thir13en, selaras dengan nama kedainya.

Akui jualan vape menurun sejak Oktober

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Vape Melayu Terengganu, Muhammad Kamaruzzaman Mahmud yang juga pengusaha vape mengakui, jualan menurun sebanyak 80 hingga 90 peratus sejak Oktober lalu.

Kamaruzzaman mengesyorkan semua pengusaha vape membuat harga promosi dalam tempoh enam bulan dari sekarang bagi menghabiskan stok sedia ada kerana bimbang tidak habis dijual sekiranya masih menggunakan harga biasa.

“Kalau buat potongan harga, saya rasa stok mereka akan habis dalam masa ditetapkan kerana saya percaya pengguna memang cari (vape harga murah) terutama dalam saat genting macam sekarang ini.

“Saya harap tempoh itu digunakan pengusaha vape sebaik mungkin kerana tempoh yang diberikan itu sudah cukup. Mereka perlu bersyukur kerana masih diberi tempoh dan tidak mengharamkan serta-merta,” katanya.

Kamaruzzaman berkata, setelah isu vape dimainkan, ada pengusaha yang tutup kedai dan ada yang masih meneruskan perniagaan, jadi dia berharap mereka menerima kenyataan menteri besar itu dengan rela.

“Selepas ini kita akan beralih kepada perniagaan baru seperti gajet lain, sebab itu kita sangat mengharapkan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu dipermudahkan,” katanya.


0 comments:

share2