Putrajaya - Sistem pendingin hawa berpusat di Hospital Selayang yang mengalami kerosakan sejak 5 petang Khamis lalu (14 Januari), dijangka berfungsi semula seperti sedia kala pada Rabu (20 Januari).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sistem akibat kerosakan pada satu daripada empat 'chiller', sedang giat dijalankan.
"Pihak pengurusan Hospital Selayang akan sentiasa memantau rapi keadaan suhu di semua lokasi kritikal serta lain-lain lokasi dan kemajuan kerja-kerja pembaikan oleh Perkhidmatan Sokongan Hospital (Radicare)," katanya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Dr Noor Hisham berkata, bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pesakit, pelawat dan warga kerja beberapa langkah sedang diambil oleh pihak pengurusan hospital. Antaranya ialah kes pembedahan bukan kecemasan/elektif pada 15 dan 16 Januari terpaksa ditangguhkan dan dijadualkan semula, katanya.
Jelas beliau, alat pendingin hawa mudah alih dibekalkan ke dewan-dewan bedah dan unit-unit kritikal dan juga kipas di tempat-tempat tertentu supaya persekitaran berada pada suhu ditetapkan.
Hingga kini, katanya, 19 buah pendingin hawa mudah alih, 50 kipas dan lima cooler sudah diagihkan dan 25 pendingin hawa mudah alih tambahan akan diagihkan dalam jangka masa terdekat. Dr Noor Hisham berkata, bagi mengelakkan penangguhan jadual pembedahan elektif pada minggu depan, sistem pendingin hawa berpusat akan disalurkan secara optimum melalui kaedah 'load shedding' supaya keadaan suhu lebih stabil di kawasan kritikal seperti dewan-dewan bedah, dewan bersalin dan Unit Rawatan Rapi.
Katanya, penyewaan dua chiller baharu yang dipasang hari ini dijangka berfungsi pada 19 Januari (Selasa).
0 comments:
Post a Comment