Orang ramai di sekitar Alor Setar kini tidak perlu lagi ke Indonesia untuk merasai makanan nasi padang, namun mereka boleh ke D.Samsiah Sidik Nasi Padang yang terletak di Jalan Tunku Ibrahim, di sini.
Pengurusnya, Jamil Ahmad, 52, berkata, kedai makanan warisan keluarga isteri tercinta, Das Samsiah, 52, itu dibuka sejak 1965 dan menyediakan menu cita rasa Indonesia.
"Kami menggunakan rempah ratus tersendiri dalam masakan bagi membolehkan pelanggan merasakan keaslian makanan Indonesia ala Kedah.
"Bagi memenuhi permintaan pelanggan, kami juga menyediakan antara 35 hingga 40 menu berbeza serendah 80 sen ke RM20 setiap hari," katanya.
Menurutnya, pelanggan juga boleh menikmati beberapa menu unik di kedai mereka seperti otak lembu, urat keting dan perut yang jadi pilihan utama pelanggan.
"Lontong dan gado-gado juga antara menu yang popular di sini," katanya.
Jamil berkata, dia perlu mendapatkan antara tiga hingga lima otak lembu dari pembekal untuk memenuhi selera sebilangan pelanggan.
"Malah kira-kira tiga kilogram urat keting lembu diperlukan setiap hari untuk menyiapkan hidangan yang mendapat permintaan menggalakkan itu," katanya.
Katanya, selian menikmati makanan, pelanggan juga berpeluang menjamu mata melihat model figura aksi seperti Thor dan Predator di kedai warisan keluarga berusia 50 tahun itu.
"Hiasan lukisan artis terkenal seperti Bob Marley dan Mr Bean pastinya membuatkan pelanggan seakan-akan berada di balai seni," katanya.
Tambahnya, kedai makan yang dibantu kira-kira enam pekerja itu dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang.
0 comments:
Post a Comment