Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 15, 2016

MAYAT BAYI DITEMUI DALAM LOJI KUMBAHAN

Mayat bayi ditemui dalam loji kumbahan



KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja pembersihan tergamam, apabila menemui mayat bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat terapung di dalam loji kumbahan milik sebuah kolej swasta di Setiu, semalam.

Bayi yang dipercayai berusia enam bulan itu ditemui pekerja lelaki terbabit kira-kira jam 3.30 petang, ketika sedang meninjau loji kumbahan itu, sebelum menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Ketua Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, bayi yang cukup sifat itu ditemui sedang terapung berhampiran saluran lubang najis.

“Hasil siasatan awal, kita percaya bayi itu keluar dari tandas asrama pelajar kolej tersebut yang jaraknya hanya 100 meter dari asrama lelaki dan 400 meter dari asrama perempuan.

“Bayi itu masih sempurna namun mengalami sedikit kecederaan di lengan dan peha kirinya, mungkin disebabkan agak lama terendam dalam loji tersebut iaitu kira-kira dalam tempoh 48 jam,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mayat bayi itu kemudiannya dihantar ke Hospital Setiu untuk dibedah siasat.

Dalam masa sama, Wan Abd Aziz berkata, polis yakin individu bertanggungjawab ke atas bayi tersebut merupakan salah seorang pelajar di kolej berkenaan dan kini pihaknya sedang giat menjejaki suspek.

Katanya lagi, polis turut merayu kepada orang awam atau mana-mana pihak yang mengetahui tentang adanya kelahiran dalam tempoh 48 jam ini, diharap dapat tampil memberi kerjasama.

“Selain itu, jika ada klinik-klinik swasta yang menerima pesakit untuk mendapatkan rawatan kerana sakit bersalin dalam tempoh 48 jam sebelum ini, diharap juga dapat membantu kami.

“Kerjasama daripada semua pihak amat dialu-alukan dan diharapkan kerana kita dapat mencari individu yang bertanggungjawab ke atas janin tersebut,” katanya.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran yang boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.




0 comments:

share2