Kuala Lumpur - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membidas pembangkang yang hanya tahu mengkritik penubuhan Mara Digital daripada berbuat sesuatu untuk membantu golongan usahawan.
Tegas Ismail Sabri, pihaknya tidak ambil peduli tentang kata-kata negatif yang dilemparkan kepada Mara Digital kerana terbukti pembangkang hanya tahu mengkritik.
"Saya rasa biarlah dia nak kritik, dia tak buat apa-apapun, yang penting kita buat.... dia (pembangkang) cakap, (tetapi) kita buat itu bezanya.
"Jadi bagi saya lebih baik kita buat, apa yang kita buat untuk usahawan kita... dan dia nak bercakap terserahlah pada dia, dia tak buat (apa-apa) dia bercakap (sahaja), kita tak bercakap kita buat itu bezanya," katanya kepada pemberita ketika sidang medianya di Mara Digital, di Bangunan Mara, di sini, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Mara Digital hanya pilihan, bukan saingan]
Ismail Sabri berkata demikian mengulas kritikan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang mengkritik kewujudan pusat sehenti penjualan gajet dan alat telekomunikasi peniaga Melayu dan Bumiputera, Mara Digital.
Terdahulu, Zuraida mendakwa kononnya pusat membeli belah IT di Menara Mara itu diwujudkan tidak lama selepas insiden pergaduhan di Low Yat.
“Apakah ini akan memberi manfaat kepada masyarakat umum apabila keistimewaan 38 peniaga telah diberi faedah untuk menerima sewa percuma selama enam bulan.
“Masih ramai lagi di luar sana yang lebih layak untuk merasai kenikmatan tersebut. Menjadi harapan agar tragedi Low Yat dan Kota Raya tidak berulang,” Zuraida dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan.
Pusat sehenti penjualan gajet dan alat telekomunikasi Mara Digital yang diusahakan peniaga Melayu dan Bumiputera dibuka kepada orang ramai pada 8 Disember tahun lalu.
Pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang terletak di Menara Mara itu memberi satu lagi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan lebih murah dan dijamin ketulenannya di bawah satu bumbung.
0 comments:
Post a Comment