Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 9, 2016

[KUANTAN] PEMANDU LORI TINGGAL BAUKSIT TEPI JALAN


Pemandu lori tinggal bauksit tepi jalan


Tindakan sesetengah pemandu lori meninggalkan bauksit di tepi jalan tidak disenangi orang ramai terutamanya pengguna jalan raya.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Jalan Pintasan Kuantan - Gebeng mendapati terdapat beberapa timbunan bauksit ditinggalkan pemandu lori di bahu jalan, dipercayai bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa kerana membawa lebih muatan.

Lebih mengecewakan penduduk, timbunan sisa mineral itu dibiarkan begitu sahaja dan tidak dibersihkan.

Seorang penduduk, Mohd Azmi Othman, 42, berkata, tindakan lepas tangan dan ambil mudah sesetengah pihak mungkin akan menyusahkan orang ramai.

“Bauksit yang dibuang terbiar begitu sahaja dan saya bimbang ia akan membahayakan orang ramai.

“Saya harap tempoh penangguhan operasi bauksit digunakan pihak terbabit untuk membersihkan sisa kekotoran termasuk membuang timbunan bauksit di tepi jalan,”katanya.

Kamaruddin Ali, 37, pula berkata, masalah itu tidak seharusnya diambil ringan.

Katanya, dia menyedari tindakan pemandu lori membuang bauksit di tepi jalan sejak tahun lalu, khususnya jika ada operasi oleh pihak berkuasa.

“Kerana takut muatan yang lebih, mereka membuang bauksit tersebut di tepi jalan. Tindakan tersebut sangat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim berkata, morotarium bauksit yang diputuskan kerajaan adalah satu proses bertenang dalam menstruktur semula, terutama dalam mengurus alam sekitar dan keselamatan awam.

“Justeru, saya berharap keadaan jalan yang kotor, tumpahan ketulan tanah bauksit dan timbunan bauksit di tepi jalan, dibersihkan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal terjamin,” katanya.


0 comments:

share2