Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 6, 2016

ISU GELARAN 'DATUK': ORANG BAGI, AYAH AMBILLAH


Abdul Rani Kulup Abdullah



Gombak - "Orang bagi, ayah ambillah". Demikian reaksi Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berhubung isu penganugerahan gelaran Datuk Paduka Mahkota Melaka dari 'Sultan Melaka', bulan lalu.

Beliau tampil memberi keterangan kepada Polis Melaka Tengah di Balai Polis Gombak, semalam.

Menurutnya, sepanjang memberi keterangan, beliau hanya ditanya soalan-soalan yang disifatkan sebagai biasa serta mendapat layanan yang baik.

"Atas persetujuan saya, mereka bawa saya ke Balai Polis Gombak. Soalan-soalannya biasa sahaja. (Antaranya) kenapa saya menerima darjah kebesaran yang tidak diiktiraf.

"Jawapan saya mudah, saya ambil (sebab) orang bagi. Bukan senang nak dapat Datuk Paduka. Ini pula ada Sultan yang nak beri, bukan kena bayar apa-apa pun," katanya ketika ditemui pemberita selesai memberi keterangan, semalam.

Sebelum ini beliau dilihat dibawa menaiki sebuah kenderaan polis jenis Proton Preve berwarna perak diiringi sebuah lagi kenderaan sama dari Polis Melaka Tengah ke balai polis terbabit kira-kira jam 2.30 petang.

Pada mulanya beliau mahu memberi keterangan kepada Polis Melaka Tengah di sebuah restoran mamak di sini, bagaimanapun dibawa ke Balai Polis Gombak.

Mengulas lanjut, Abdul Rani mengakui segala persiapan termasuk persalinan disediakan individu yang mengaku sebagai Sultan Melaka itu.

"Salahkah saya ambil? Kalau salah, bagilah yang tak salah. Yang betul mana?

"Lima tahun saya aktif membuat repot polis hinggakan saya digelar Raja Repot. Bukan saya gelar tapi mereka yang gelar saya. Raja Repot kena angkut hari ini, kacau betul," katanya.

Sebelum ini, Abdul Rani menerima anugerah membawa gelaran Datuk Paduka Mahkota Melaka daripada individu bernama Noor Jan Tuah yang mengakui dirinya Sultan Melaka.

Bagaimanapun, majlis penganugerahan pingat itu dianggap tidak diiktiraf dan kini disiasat di bawah Akta Hasutan.

Isu Noor Jan kembali hangat apabila majlis penganugerahan itu melibatkan beberapa individu yang kerap mendapat perhatian dan menjadi viral di media sosial termasuk Abdul Rani.

Noor Jan pernah ditahan polis bagi membantu siasatan bawah akta sama, selepas mengadakan majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf.


0 comments:

share2