Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 5, 2016

CULIK KANAK-KANAK 5 TAHUN DENGAN UMPAN GULA-GULA


Culik kanak-kanak 5 tahun dengan umpan gula-gula


Kota Bharu – Belum pun reda drama culik rekaan seorang remaja perempuan, minggu lalu, timbul pula satu lagi viral laporan polis berhubung dakwaan kanak-kanak lima tahun yang diumpan gula-gula dalam percubaan diculik lelaki bertopeng dari sebuah van putih, di Semerak, Pasir Puteh, Ahad lalu.

Laporan dibuat bapa mangsa seorang warganegara Pakistan, Bakhezaba sejurus lelaki berusia 32 tahun itu dimaklumkan oleh isterinya, seorang warganegara tempatan berhubung kejadian yang menimpa anak lelaki mereka.

Katanya, kejadian berlaku pada jam 4.50 petang, ketika anaknya bermain di tepi jalan tidak jauh dari rumah mereka di Kampung Kuala Semerak, Pasir Puteh, bersama seorang lagi sepupu lelaki berusia 12 tahun.

“Anak saya beritahu, ketika dia sedang bermain, datang sebuah van putih berhenti berhampirannya dan menghulurkan gula-gula, tetapi dia tidak mengambilnya dan ditarik sepupu lalu melarikan diri ke rumah nenek mereka serta mengunci pintu,” katanya.

Menurut pekerja kedai perabot itu lagi, anaknya memberitahu terdapat dua lelaki bertopeng di dalam van berkenaan. Suspek turut mengejar mangsa hingga ke rumah dan mengetuk pintu dengan kuat mengarahkan supaya dibuka sebelum beredar beberapa minit selepas itu.

“Saya memang sentiasa menasihatkan anak saya supaya berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali ketika bermain di luar rumah. Sekarang anak saya masih terkejut dan takut dengan kejadian ini serta tidak lagi keluar kecuali ke sekolah,” katanya.

Bakhezaba berkata, kejadian ini pertama kali berlaku terhadap anak kedua daripada empat beradik itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

“Kes di Selangor sebelum ini mangsa, (Amirah Atirah) mengada-adakan cerita. Ini kes lain dan polis perlu menjalankan siasatan terperinci terlebih dahulu bagi mengetahui kesahihannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Laporan berkenaan menjadi viral selepas dimuat naik di satu laman facebook, pagi kelmarin dan dikongsi 282 pengguna laman sesawang itu.


0 comments:

share2