Shah Alam - Parti Amanah Negara (Amanah) sepatutnya bersyukur diberikan lapan kerusi untuk ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) bagaimanapun, sekiranya berhasrat menambah kuota mereka dinasihatkan untuk tunggu penggal depan.
Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, bersyukurlah PKR, Pas dan DAP serahkan lapan kerusi itu.
"Bersyukurlah daripada kosong dapat juga lapan kerusi untuk ahli majlis Amanah.
"Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) itu dah muktamad, tidak akan ada lagi rundingan untuk Amanah tambah kerusi.. Kalau tak puas hati dapat lapan sahaja, tunggulah penggal akan datang," katanya ketika ditemui di pejabatnya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Pusat menegaskan kerajaan negeri tidak tergugat dengan gertakan Amanah untuk menolak tawaran sekiranya tidak diberikan minimum 24 kuota kerusi.
"Kerajaan negeri tidak kisah kalau Amanah tidak mahu terima tawaran lapan kerusi PBT berkenaan. Kita akan serahkan semula kepada PKR, Pas dan DAP untuk uruskan seperti sebelumnya.
"Kita tidak ada masa untuk layan semua ini. Lagipun tak nak timbul gangguan tugas harian peringkat PBT, buat masa ini terima lah dahulu lapan kerusi itu tapi kita harap Amanah dapat berikan kerjasama yang baik bagi meneruskan kelangsungan Pakatan Harapan," katanya.
Chang Khim yang juga Exco Pelaburan Perindustrian (IKS) dan Perdagangan dan Pengangkutan menyifatkan kenyataan Pas bahawa parti Islam itu tidak akan mengiktiraf ahli majlis daripada Amanah sebagai cakap emosi semata- mata.
"Itu (Pas) hanya cakap emosi kononnya tidak mahu mengiktiraf ahli majlis Amanah. Pengiktirafan ahli majlis datang daripada undang- undang kerana kerajaan negeri lebih berkuasa," katanya.
Adun Sungai Pinang berkenaan menjelaskan bahawa Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak terdesak dan tidak pula berdepan dilema dalam kontroversi pembahagian kuota kerusi PBT untuk Amanah.
"Azmin tidak terdesak walaupun memang ada permintaan. Memang ada pihak mendesak tapi Azmin tidak terdesak," katanya.
0 comments:
Post a Comment