Keputusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan tidak mengenakan hukuman terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah bagi mengelak badan induk bola sepak negara itu dikenakan hukuman lebih berat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata Pesuruhjaya Sukan Malaysia Datuk Zaiton Othman dan FAM menggunakan pendekatan diplomasi supaya tidak menjejaskan kedudukan Malaysia dan pasukan negara dalam kejohanan antarabangsa.
"Ada perkembangan di sebalik apa sedang berlaku...tidak perlu saya ceritakan di sini. Tetapi Pesuruhjaya Sukan telah mengambil pendekatan membuat beberapa teguran termasuk aspek keselamatan dalam stadium semasa perlawanan menentang Arab Saudi.
"Soal masa depan FAM adalah satu lagi proses yang berasingan supaya tiada tindakan diambil terhadap Malaysia oleh Fifa.
"Saya percaya keputusan dibuat itu akan membawa kepada perkembangan positif dalam masa yang singkat," katanya ketika ditemui pemberita di majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran Kementerian Belia dan Sukan, di sini semalam.
Namun, Khairy berkata FAM perlu mengambil kira strategi untuk pembaharuan terhadap prestasi skuad kebangsaan.
Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan hari ini, mengesahkan pihaknya menerima surat daripada Zaiton pada Jumaat lepas, berhubung tindakan di atas insiden kekecohan penonton ketika perlawanan Kelayakan Piala
Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, 8 September lepas.
Menurut surat tersebut, badan induk bola sepak negara itu diarah mengambil tindakan segera menambah baik sistem kawalan dan keselamatan stadium.
0 comments:
Post a Comment