Skuad Tok Gajah perlu lebih kental apabila melayan kunjungan Selangor dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, di sini, malam ini.
Pengendalinya, Zainal Abidin Hassan memberitahu, pemainnya tidak boleh mengharapkan laluan mudah tambahan menentang pasukan berpengalaman yang semakin mantap seperti Selangor.
Namun bekas pemain kebangsaan itu tetap optimis peluang dimiliki pemainnya untuk meraih bekalan selesa di laman sendiri.
“Lawan bukan pasukan sama seperti dalam saingan Liga Super sebelum ini kerana mereka sudah membuktikan kemampuan dengan berada di tahap prestasi terbaik.
“Ia dapat disaksikan dengan kejayaan Selangor itu layak lebih awal ke suku akhir piala itu dan beraksi cemerlang pada peringkat suku akhir dengan menewaskan Sarawak,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, Pahang juga perlu lebih bertenaga untuk menahan asakan lawan di samping tidak boleh leka sepanjang 90 minit permainan.
“Pemain perlu kekalkan sikap seperti dipamerkan ketika menentang Lions XII suku akhir pertama sebelum ini jika mahu impian beraksi di pentas final tercapai.
“Segalanya kini mengharapkan segala percaturan dilakukan menjadi untuk memastikan kemenangan ke atas Selangor sebagai bekalan pada aksi kedua di Stadium Shah Alam Ahad ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pengendali berusia 53 tahun itu mengesahkan pemain pertahanan kental, Mohammad Abdul Aziz Ismail tidak dapat diturunkan berikutan penggantungan selepas mengutip dua kad kuning.
“Tapi saya percaya pemain yang akan disenaraikan nanti dapat menjalankan tugas mereka dengan baik dan tidak mensia-siakan peluang yang ada kerana ini adalah aksi terakhir di laman sendiri,” tegasnya lagi.
0 comments:
Post a Comment