Butterworth - Mayat ibu dan anaknya ditemui di rumah mereka di Taman Emas, Perai pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, mayat wanita berusia 75 tahun itu ditemui terbaring atas katil di sebuah bilik di tingkat bawah manakala mayat anak lelakinya yang berumur 45 tahun ditemui tergantung di bilik tingkat atas rumah dua tingkat berkenaan.
"Penemuan mayat dua beranak itu disedari anggota keluarga mereka selepas jiran mereka ternampak seorang lelaki tergantung di tingkat atas rumah berkenaan sebelum mereka menghubungi polis," katanya.
Beliau berkata, rumah itu didiami lima orang anggota keluarga berkenaan yang langsung tidak menyedari kejadian terbabit.
Mangsa dipercayai mati antara pukul 1 pagi hingga 8.30 pagi tadi, katanya.
"Siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah, bagaimanapun polis akan menjalankan siasatan lanjut," kata Rusli.
Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Seberang Jaya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.
Seorang jiran mangsa yang enggan dikenali berkata beberapa orang jiran terdengar bunyi bising dari rumah mangsa kira-kira jam 1.30 pagi.
"Ada yang dengar bunyi bising dari rumah mereka tapi kami tidak ambil kisah kerana kadang-kadang mereka buka muzik dengan kuat dan adakan majlis," katanya.
0 comments:
Post a Comment