Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 15, 2015

[KUANTAN] TUNGGANG KUDA TERAPI PENYEMBUHAN

Tunggang kuda terapi penyembuhan



Aktiviti berkuda merupakan sunnah dituntut kerana ia memberi banyak manfaat termasuk membantu menyembuhkan pelbagai penyakit dan masalah seperti mental, emosi, fizikal, bahasa, autisme, sindrom down dan lain-lain.

Pakar terapi berkuda, Lisa McCallum, berkata, menunggang kuda adalah aktiviti yang baik untuk menyenangkan fikiran bagi sesetengah orang, tetapi bagi kanak-kanak yang memiliki kekurangan, menunggang kuda adalah salah satu kaedah penyembuhan.

Dalam mendekati aktiviti berkuda yang semakin diminati ramai, Sinar Harian sempat meninjau sebuah pusat menunggang kuda tempatan yang menawarkan pelbagai aktiviti berkuda bagi semua peringkat usia dan lapisan masyarakat.

Pengurus Operasi Assakaf Equin Centre (AEC), Mohd Fauzi Osman berkata, berlandaskan sunnah Rasulullah SAW, dia bersama dua lagi sahabatnya iaitu Muhammad Aznel Sulaiman, 43, dan Abdul Azim Merzuki, 30, cenderung berkongsi pengetahuan mengenai aktiviti sukan berkuda ini yang banyak memberi manfaat termasuk membina keyakinan diri dan memupuk sifat kepimpinan.

Menurutnya, selain itu mereka percaya dengan perkongsian ini merubah persepsi masyarakat tentang aktiviti berkuda ini yang dianggap hanya sesuai bagi mereka berkelas atasan.

“Sememangnya kos agak tinggi kerana harga haiwan itu sendiri mencecah ribuan ringgit, namun kami bukan sekadar meminati kuda malah ingin berkongsi dengan masyarakat semua keistimewaan haiwan yang dinaikkan darjatnya oleh Rasulullah SAW ini.

“Mungkin ramai yang hanya tahu keseronokan menunggang kuda namun masih ada yang belum tahu akan kebaikan dan terapinya yang boleh menyembuhkan pelbagai penyakit. Saya sendiri mengakuinya memandangkan turut sama menjadikan aktiviti tunggangan kuda ini sebelum mengkomersialkannya.

“Menunggang kuda mampu membantu seluruh anggota dalam tubuh badan manusia termasuklah sistem penghadaman, sistem saraf, organ perkumuhan, dan pendek kata penunggang kuda pastinya sihat dan bertenaga.

“Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah fizikal, misalnya lumpuh, berkuda adalah cara mereka menikmati kebebasan yang selama ini tidak mereka dapat semasa berada di atas kerusi roda. Duduk di atas kuda juga akan melatih otot kaki mereka sehingga boleh berjalan, terapi berkuda memiliki tiga faedah utama, iaitu bersukan pendidikan pengubatan ketiga-tiga perkara di atas sangat diperlukan dalam pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak khas,” katanya.

43 pelatih berjaya

habis latihan

Fauzi berkata, setakat ini AEC sudah melatih kira-kira 43 penunggang yang berjaya menghabiskan latihan asas disediakan.

“Di sini kami ingin memberi semua orang rasa dan mahir untuk mengendali dan menunggang kuda, dan kerana itu latihan asas yang diberikan begitu menarik perhatian mereka yang tercari-cari aktiviti yang boleh diceburi.

“Setiap orang akan dilatih bermula dengan asas berjalan (walk), dan meningkat setingkat lagi iaitu berjoging (trot) dan sehingga boleh berlari (canter) dengan kuda yang berbeza-beza.

“Kuda yang digunakan juga berbeza dan diyakini membantu menghilangkan ketakutan penunggang termasuk mereka yang baru bermula menunggang. Di sini ada kuda-kuda terbaik antaranya Sofea berusia 12 tahun dari Argentina dan Princess, sembilan tahun dari Australia untuk penunggang yang baru belajar. Sementara, Siti berusia empat tahun, baka dari timur tengah dan Dol, tujuh tahun dari New zealand untuk penunggang yang meningkat ke satu lagi level,” katanya.

Sementara itu, bagi penerima sijil, Mohd Hanif Haikal Khairul Anuar, 7, dari SK Permatang Badak, di sini, walaupun menunggang kuda sedikit penat tapi ia memberikan keseronokan.

“Saya belajar menunggang kuda sejak umur enam tahun. Saya tak belajar tunggang kuda je, tapi saya juga dilatih macam mana nak jaga kuda. Saya kena disiplin... kena mandikan kuda... dan macam-macam lagi," katanya sambil memberitahu, menunggang kuda kini adalah aktiviti utamanya di waktu lapang.

Bagi, Ahmad Amran Amiruddin, 15, dari SM Agama Persekutuan, Bentong, berkata, dengan menyertai aktiviti berkuda mampu membina keyakinan diri dari masa ke semasa.

“Sebelum masuk aktiviti tunggang kuda ni, badan saya gemuk... tapi, lepas terlibat aktiviti ni, berat badan saya susut. Dari 75 kilogram, sekarang 70 kilogram.

“Dari sinilah saya dah mula ada keyakinan diri. Badan saya dah susut... dan saya dah rasa malu lagi dalam kelas,” katanya ceria.

Pupuk sikap mesra haiwan

Dr Nuraainaa Hamzah, 25, bertugas di Klinik Gigi Bukit Goh, memberitahu, semenjak terlibat di dalam aktiviti menunggang kuda, sikap tidak mesra binatang semakin dapat dibendung.

“Saya ada terfikir... takut kalau terjatuh dan dipihak kuda pada mulanya. Tapi, setelah jurulatih beritahu, kalau jatuh kita akan selamat sebab kuda tak akan pijak orang yang menunggangnya, perasaan risau tu terus hilang" katanya sambil memberitahu, dirinya mengetahui mengenai AEC menerusi carian dalam Google.




0 comments:

share2