Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 26, 2015

[KUANTAN] SIASAT PEMILIK AKAUN FACEBOOK 'ADINDA IDRIS'





Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang pemilik akaun Facebook dikenali 'Adinda Idris' kerana memfitnah pasukan berkenaan sehingga menjadi viral di media sosial dan menjejaskan kredibilitinya. 

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, berkata individu itu mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah di Facebook, semalam yang mendakwa pegawai polis menyiasat kes kemalangan membabitkan anaknya meminta keluarganya menarik balik laporan terhadap seorang pemandu lori, yang dikatakan terbabit dalam kejadian di Jalan Pintasan Kuantan pada 18 Oktober lalu. 

Beliau berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan kes kemalangan membabitkan anak individu itu, yang ketika kejadian menunggang motosikal dan mengesan lori berkenaan berdasarkan nombor pendaftaran diberikan rakan mangsa yang menjadi saksi. 

"Pemandu lori datang ke Balai Polis Gebeng pada 19 Oktober untuk menafikan terbabit dalam kemalangan dan siasatan mendapati nombor pendaftaran diberikan adalah salah...namun kita teruskan juga siasatan. 

"Tetapi semalam kita mendapati ada sebuah posting di Facebook menggunakan akaun 'Adinda Idris' menyebut 'Anak saya eksiden langgar lari dengan lori bauksit ni otw balik ke ILP Gebeng. 

Satu minggu dia di hospital dan tiga minggu kat rumah. Polis lak cakap buang kes je bang kat suami. 

Susah nak cita bila terbabit dengan Sultan ni. Abis nasib anak saya tu camna'. "Kita menyangkal ada menasihatkan mana-mana individu khususnya ahli keluarga mangsa, ini adalah fitnah dilemparkan terhadap pegawai polis khususnya yang bertungkus-lumus menjalankan tugas untuk memastikan kes ini dibawa ke muka pengadilan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini. 

Abdul Aziz berkata, satu laporan polis sudah dibuat dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu memfitnah yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. 

"Kita sudah mengenal pasti pemilik akaun Facebook itu dan sudah mengambil keterangannya, kita dapati dia ada membuat satu posting susulan pada hari sama dengan meminta maaf atas kenyataan berkenaan. 

"Tetapi kita tetap teruskan siasatan kerana fitnah dilakukannya itu jelas mencemarkan kredibiliti pegawai polis dan pasukan secara keseluruhannya," katanya. 

Beliau turut menafikan viral di laman sosial menyatakan polis meminta suami kepada seorang guru wanita, Nohaili Ahmad Zabidi, 40, yang maut dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan pada Isnin lalu supaya menarik balik laporan. 

"Siasatan masih dijalankan dan kita sudah menahan reman pemandu lori untuk, tiada isu ia dihentikan," katanya. 

Dalam kejadian itu, Nohaili maut selepas kenderaan dinaikinya terlanggar tayar yang tercabut daripada lori membawa muatan bauksit. 

Dalam pada itu, Abdul Aziz turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat fitnah dan komen di laman media sosial sehingga menjadi viral dan menganggu siasatan sesebuah kes.


0 comments:

share2