Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 31, 2015

[KUANTAN] MEKANIK JADI PETANI MODEN


Mekanik jadi petani moden


Walaupun tiada pengalaman dan pengetahuan dalam bidang pertanian, namun ia tidak menghalang Mohd Norizan Sulaiman, 40, untuk mengusahakan tanaman sayur-sayuran secara fertigasi.

Berpegang pada prinsip perlu ada keyakinan dan usaha gigih serta kesabaran tinggi, baginya tiada apa mustahil untuk dicapai.

Malah, Mohd Norizan nekad melibatkan diri dalam bidang pertanian selepas tertarik dengan kejayaan rakannya mengusahakan kebun sayuran menggunakan kaedah fertigasi.

“Kini, selepas dua tahun, saya lega dan boleh tersenyum melihat kebun sayur seluas dua hektar yang diusahakan di dua lokasi berbeza memberikan pendapatan lumayan.

“Kebun sayur ini kerja sambilan saja sebab saya masih teruskan perniagaan bengkel kereta yang diusahakan sejak 17 tahun lalu,” katanya.

Menceritakan detik minatnya terhadap pertanian itu bercambah, bapa lima anak itu berkata, segalanya bermula apabila rakannya menempah 300 tayar terpakai untuk digunakan dalam kebun sayur milik individu terbabit di Sungai Talam, Raub dan dia sendiri menghantarnya.

Katanya, melihat kebun sayur milik rakan yang luas menghijau dengan pelbagai tanaman sayuran membuatkan dia tertarik malah perasaan itu semakin menebal apabila dimaklumkan hasil yang diperoleh sangat lumayan.

“Selepas itu, saya mula tekad turut menceburi bidang pertanian dan minta bantuan rakan beri tunjuk ajar selain bersusah payah mengumpul modal hingga RM130,000 untuk merealisasikan impian saya,” katanya yang tinggal di Felda Panching Timur, di sini.

Mohd Norizan berkata, dengan bantuan rakannya, dia membuka kebun menggunakan kaedah fertigasi di atas tanah seluas 1.2 hektar di Sungai Batu, Jalan Sungai Lembing dan menanam beberapa jenis sayuran antaranya timun, lada, kacang panjang dan bendi.

“Pada peringkat awal, saya risau jika usaha saya gagal apabila kawasan kebun dinaiki air pada musim hujan namun bernasib baik apabila air naik tidak terlalu tinggi,” katanya.

Berkat kesabarannya, dia bersyukur apabila usahanya dalam bidang pertanian semakin berkembang apabila berjaya membuka satu lagi kebun sayuran seluas 0.8 hektar di Jaya Gading dan mempunyai lima pekerja untuk menguruskan dua kebunnya itu.


0 comments:

share2