Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 12, 2015

KAMI NAMPAK APA BERLAKU ANTARA NAJIB, MUHYIDDIN

Kami nampak apa berlaku antara Najib, Muhyiddin



KUALA LUMPUR - ‎Konflik dingin antara Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan lagi menjadi isu dalam kain selimut lagi, ia dapat dilihat dengan jelas di hadapan ahli dan perwakilan parti keramat itu di Perhimpunan Agung Umno tahun ini.

Bagi Perwakilan Puteri Umno bahagian Putatan, Sabah, Dahlia Mohd Zain, segala perbalahan parti seharusnya diselesaikan menerusi langkah perbincangan.

Kata Dahlia lagi, amat penting bagi seluruh parti baik dari peringkat akar umbi sehingga ke barisan pimpinan untuk terus bersatu untuk masa depan parti.

"Kita hanya ada masa lagi dua tahun sahaja lagi sebelum pilihan raya. Umno masih lagi boleh bersatu untuk menghadapi pilihan raya dan selepas pilihan raya," katanya ketika ditemui Sinar Online di sini, hari ini.

Pemerhati, Wan Mohd Hafiq Abdul Jalil, turut menyatakan pandangan yang sama terhadap penyatuan parti.

Menurut Wan Mohd, meskipun jelas kelihatan 'suasana dingin' di meja barisan kepimpinan parti atas pentas, ahli parti tidak seharusnya mudah melatah dan terus berpecah.

Sebaliknya, katanya, ahli dan perwakilan harus menumpukan perhatian terhadap penggubalan usul dan dasar yang dibahaskan dalam perhimpunan itu.

"Saya berharap ‎pada perhimpunan kali ini, kita semua dapat terus bersatu demi kebaikan parti dan masa depan negara," katanya.

Manakala pada pandangan Perwakilan Puteri Umno Bahagian Indera Mahkota, Pahang, Nur Hasniwati Abdul Rashid, meskipun konflik dingin jelas berlaku antara presiden dan timbalannya, ia tidak akan menjejaskan sokongan ahli terhadap parti.

"Kami semua nampak dan sedar apa yang berlaku di pentas (perhimpunan). Kami juga terasa kesannya walaupun cuma sedikit.

"Bagaimanapun sokongan kami terhadap parti dan pemimpin tidak akan berubah, kami tetap bersatu demi parti," katanya.




0 comments:

share2