Taman Negeri Endau–Rompin antara lokasi pelancongan yang terkenal di daerah ini ditutup buat sementara waktu buat pengunjung bermula 1 November lalu hingga 31 Januari tahun depan sebagai langkah keselamatan menghadapi musim tengkujuh.
Penutupan itu buat kali kedua sejak ia dilakukan pada tahun lalu berdasarkan arahan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang sekali gus menutup sebarang aktiviti termasuk aktiviti pendakian gunung dilakukan.
Pegawai Hutan Daerah Rompin, Nazri Husin, berkata, penutupan itu juga sebagai langkah pencegahan mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini kerana paras Sungai Kincing yang menjadi lokasi mandi pengunjung juga boleh naik mendadak jika pada waktu hujan.
“Penutupan ini tidak dapat dielak dan bagi peminat aktiviti rekreasi di hutan yang mempunyai rancangan untuk ke sini diminta menunda tarikh ke tahun depan iaitu bermula bulan Februari ia akan dibuka semula.
“Ini merupakan langkah keselamatan yang diambil sebagai pencegahan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini yang dipengaruhi musim tengkujuh atau cuaca tidak menentu yang juga boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung,” katanya yang dihubungi Sinar Harian.
Taman Negeri Endau–Rompin mula diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal di bawah Seksyen 7, Akta Perhutanan Negara 1984 dengan keluasan semasa 31,797 hektar dan jenis hutan dipterokarpa yang tumbuh di kawasan tanah pamah serta beralun.
Sebelum diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal, ia juga telah diwartakan di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara 1965 yang disiarkan dalam Warta Kerajaan Pahang bertarikh 17 Julai 1986 iaitu keseluruhan Taman Negeri dijadikan sebagai Hutan Perlindungan.
Dalam pada itu, Nazri turut menjelaskan penutupan itu juga memberi kesempatan kepada pihaknya untuk menjalankan kerja pembersihan dan baik pulih kemudahan yang terdapat di kawasan berkenaan untuk kegunaan para pengunjung.
“Bagaimana pun tujuan utamanya tetap mengenai keselamatan kerana musim tengkujuh yang biasa melanda negara pada hujung tahun.
“Kawasan ini dikelilingi oleh tujuh gunung bagaikan di tengah kawah dan kebiasaan pada musim tengkujuh akan berlaku angin kuat, ribut, hujan lebat serta paras air sungai juga meningkat secara mendadak,” katanya.
0 comments:
Post a Comment