Kakak sulung mangsa kemalangan di Kilometer 44, Jalan Maran - Sungai Jerik, kelmarin tidak menyangka kejutan yang hendak diberikan adik perempuannya itu bertukar menjadi mimpi ngeri.
Laily Zuraidah Mustapa Kamal, 35, berkata, dia tidak tahu adiknya, Mas Hanum Mustapa Kamal, 31, bersama suami, Mohd Sukri Sampol, 30, ibu mereka, Nor Asiah Abdul Aziz, 53, seorang lagi adiknya, Nurul Hidayah Mustapa Kamal, 25, serta dua lagi anak saudaranya, Muhammad Akil Danish Sukri, 3, dan Nur Qaisara Damia Sukri, 1, dalam perjalanan hendak ke rumahnya di Kuantan.
Laily Zuraidah berkata, kejutan adiknya itu menjadi kenangan terakhir mereka apabila Mas Hanum meninggal dunia bersama suaminyaMohd Sukri, Nor Asiah, dan Akil Danish manakala Nurul Hidayah dan Nur Qaisara cedera parah selepas kenderaan yang menaiki terlibat nahas dengan sebuah lori.
Nurul Hidayah yang cedera di tangan dan paha dan Nur Qaisara kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah setelah dipindahkan dari Hospital Jengka untuk rawatan lanjut.
Tulis status 'wait and see'
Menurutnya, dia dimaklumkan tentang perkara terbabit oleh adiknya, Nurul Hidayah yang telah sedarkan diri setelah parah dan menerima rawatan di hospital, kelmarin.
“Khamis lalu saya ada mesej arwah (Mas Hanum) dalam WhatsApp dan arwah ada beritahu hendak ambil cuti hari Isnin (kelmarin).
“Dia tanya saya jarak antara rumah saya dengan Cerating dekat atau tak. Saya jawab pada dia, daripada pergi Cerating, lebih baik datang rumah saya, tapi dia hanya jawab ‘wait and see'’,” katanya.
Laily juga berkata, Mas Hanum turut menukar status aplikasi WhatsAppnya dengan ayat ‘wait and see’ membuatkan dia tertunggu-tunggu kehadiran adiknya itu.
“Hari Sabtu saya tunggu, tapi tiada, jadi saya tidak fikir apa-apa sehinggalah saya dimaklumkan arwah sekeluarga bersama mak dan adik terlibat dalam kemalangan semalam (kelmarin).
“Saya rasa mereka mungkin hendak membuat kejutan kepada saya memandangkan saya kini alahan mengandung tiga bulan anak yang ke-empat dan tidak lalu makan.
"Hidayah juga beritahu mak ada bawa bekal untuk saya,” katanya.
Laily difahamkan Sukri singgah ke Benta untuk membaiki kereta dan mengambil keputusan menggunakan jalan Benta-Jerantut dan kemudiannya Jerantut-Maran sebelum mereka terlibat dalam kemalangan di Sungai Jerik, Maran.
Tidur dengan selipar baharu
Sementara itu, suami Asiah, Mustapa Kamal Mohamad, 61, berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang tanda pelik kecuali pada hari Ahad lalu di mana arwah tidur dengan memakai selipar yang baharu dibeli.
“Saya tanya dia kenapa tidur pakai selipar itu, dia cakap dia nak pakai selipar itu hendak pergi jalan jauh.
“Saya cakap pada dia, Malaysia ini di manalah tempat boleh jalan jauh, namun dia jawab mana-mana aje yang jauh,” katanya.
Teguran Mustapa itu membuatkan Asiah meletakkan selipar yang dibelinya di Dong itu di bawah bantal sambil memikirkan tentang kecantikan selipar tersebut.
“Dia bercakap dan bertanya saya kenapa selipar dengan hiasan bunga di bahagian tepi itu cantik,” katanya.
Mustapa berkata, beberapa hari sebelum kejadian malang itu, dia turut diajak oleh isteri dan anak-anak untuk ke Bukit Fraser namun ajakan terbabit ditolak.
“Lima kali dia (Asiah) ajak pergi Bukit Fraser tapi saya tidak mahu. Kemudian mereka tukar rancangan ke rumah anak sulung saya di Kuantan kerana cucu saya Danish hendak bermain bunga api dengan pak sunya yang berada di rumah mak longnya,” katanya.
Pemergian dirasai
Bercerita lanjut, Mustapa berkata kejadian terbabit dimaklumkan orang awam di tempat kejadian dan dia kemudiannya bertindak menghubungi Mas Hanum, Nurul Hidayah dan Sukri.
“Namun, kesemua mereka tidak mengangkat telefon lalu saya bertindak menghubungi semula orang awam yang menghubungi saya itu.
“Setelah dapat dipastikan kejadian terbabit, saya bergegas ke Jengka untuk melihat keadaan keluarga saya dan menguruskan jenazah,” katanya.
Mustapa berkata, pemergian cucunya Aqil Danish amat dirasai memandangkan cucunya itu seorang yang petah berkata-kata.
“Danish beria minta saya belikan bunga api dan teruja hendak bermain bunga api bersama pak sunya kerana dia sangat rapat dengan pak sunya itu, namun hasrat itu tidak kesampaian,” katanya.
Mustapa juga tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan anak bongsu pasangan Mas Hanum dan Mohd Sukri, Nur Qaisara yang kini tinggal yatim piatu.
“Saya akan berbincang dengan anak-anak saya bagaimana kami hendak menjaga Nur Qaisara yang akan berusia 1 tahun Khamis ini (esok).
“Kemungkinan Nur Qaisara akan dijaga anak saya yang nombor tiga memandangkan dia tidak mempunyai anak,” katanya.
Mustapa yang merupakan seorang pesara Komando Pasukan Gerakan Khas Very Able Trooper (VAT) 69 dalam pada itu berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob kerana telah membantunya dalam menguruskan jenazah keluarganya.
Kesemua jenazah selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sengkela sekitar jam 12 tengah hari semalam.
Keluarga Mustapa turut menerima kunjungan Adun Dong, Datuk Shahiruddin Ab Moin dan Adun Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram.
Abdul Aziz berkata, pihaknya akan cuba menghulurkan bantuan yang diperlukan terutama buat Nur Qaisara.
0 comments:
Post a Comment