Georgetown - Seorang peniaga cedera parah apabila ditetak oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di sebuah astaka di Desa Mawar, Air Itam di sini awal pagi tadi.
Difahamkan, selain mangsa, rakannya yang berada di tempat kejadian turut cedera dipercayai terkena serangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian pada jam 6.30 pagi itu berpunca daripada salah faham berhubung tempat letak kereta.
"Hasil keterangan dari rakan mangsa, kejadian berpunca daripada sebuah kereta yang diletakkan di laluan masuk ke astaka berkenaan sehingga menghalang sebuah kereta lain untuk masuk. Susulan daripada itu, berlaku pertengkaran mulut di antara mangsa dan beberapa lelaki di dalam kenderaan itu.
"Beberapa minit selepas pertengkaran itu, datang 10 lelaki bersenjatakan parang, topi keledar dan kayu lalu menyerang mangsa dan rakannya. Mangsa yang cedera parah di bawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut. Polis sedang memburu suspek yang terlibat," katanya.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
0 comments:
Post a Comment