Keberangkatan Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah ke majlis santapan sempena meraikan ulang tahun keputeraan baginda di sebuah hotel terkemuka di ibu negara kelmarin, disambut dengan penuh kejutan.
Majlis itu adalah perancangan putera baginda, Tengku Arif Temenggung Pahang Tengku Fahad Mua’adzam Shah yang kini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Princeton, Amerika Syarikat.
Idea dan hasrat Tengku Fahad Mua’adzam Shah untuk memberi kejutan sempena ulang tahun keputeraan ayahandanya itu dirancang bersama Naib Pengerusi TAT Alliance Sdn Bhd, Datuk Seri Johny Ch’ng Ewe Gee melalui laman sosial tanpa pengetahuan Tuanku.
Lebih bermakna lagi, Sultan Ahmad Shah turut menerima hadiah istimewa iaitu sebuah kereta elektrik dua tempat duduk lengkap dengan nombor pendaftaran khas singkatan nama baginda SAS 2015.
Johny Ch’ng berkata, Tengku Fahad yang juga Pengerusi TAT Alliance Sdn Bhd menyatakan hasratnya untuk mengadakan majlis bagi meraikan keputeraan seri paduka ayahandanya itu.
Menurutnya, walaupun sibuk dengan pengajiannya, Tengku Fahad tetap mahukan satu majlis diadakan untuk meraikan Tuanku walaupun beliau tidak dapat bersama dalam majlis itu.
“Beliau berbincang dengan saya melalui e-mel, WhatsApp dan kadang-kadang melalui panggilan telefon untuk merealisasikan majlis itu dengan beberapa kejutan istimewa,” katanya.
Johny Ch’ng berkata, baginda ternyata terkejut apabila dimaklumkan bahawa individu utama di sebalik perancangan, idea dan persiapan majlis santapan penuh meriah itu adalah putera baginda sendiri.
“Lebih manis, kehadiran tetamu yang dijemput khas untuk berkongsi kemeriahan majlis itu termasuk duta dari Palestin, Iran, Nepal, Kuwait, Jepun, Sri Lanka, Kanada, Brazil, Arab Saudi, Mesir, Kemboja, Nigeria, Myanmar, Indonesia dan Kazakhstan,” katanya.
Menurutnya, beliau bangga dan terharu dengan kasih sayang ditunjukkan Tengku Fahad terhadap seri paduka ayahandanya walaupun berada jauh malah sentiasa mendoakan agar tuanku sentiasa diberkati, diberikan kesihatan yang baik, kegembiraan dan umur panjang.
“Beliau selalu mengingatkan saya terhadap hasratnya itu dan akhirnya majlis itu berjaya diadakan seperti diimpikan,” katanya.
Johny Ch’ng yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pahang berkata, majlis turut dihadiri beberapa kenamaan serta ahli SAS ahli Privilege Club.
Majlis diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan oleh pelajar SJK (C) Pei Chai, persembahan artis dari Indonesia dan Thailand, serta bacaan puisi Sembah Setia Patik Jelata, Junjung Kasih Tuanku di Takhta oleh guru sekolah dan penyair Teo Wei Sing.
Dalam majlis sama, Sultanah Kalsom turut menyampaikan anugerah usahawan cemerlang kepada lapan ahli SAS.
0 comments:
Post a Comment