Kerajaan negeri berpuas hati dengan demonstrasi penggunaan agen kawalan debu Adherex 120 bagi mengatasi masalah pencemaran seperti debu.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri bagaimana pun masih belum membuat keputusan kerana menunggu laporan penuh mengenai kaedah tersebut terutama dari segi kos.
Pihaknya akan berbincang dengan Exco kerajaan negeri manakala dari segi kos penggunaan bahan itu akan ditanggung oleh kontraktor.
“Selain itu, kerajaan negeri akan mengarahkan pengusaha bauksit secara haram supaya memberhentikan aktiviti tersebut.
“Kerajaan negeri memandang serius isu pencemaran yang berlaku disebabkan bauksit dan kebajikan rakyat diutamakan dalam usaha menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada media selepas melihat demonstrasi penggunaan Adherex 120 di tapak perlombongan bauksit KotaSas di RTP Bukit Goh di sini, semalam.
Adnan berkata, dalam usaha kerajaan menangani masalah bauksit, masih terdapat sebahagian peneroka yang mahu kerajaan negeri meluluskan lesen perlombongan bauksit.
“Kita tidak dapat halang mereka namun kerajaan negeri berpendirian bahawa masalah ini perlu ditangani terlebih dahulu dan kepentingan rakyat diutamakan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Kam Technology Ltd, Prof Mongi Ferchichi menyampaikan taklimat mengenai penggunaan bahan dan kaedah yang dilaksanakan.
Beliau berkata, produk bio-kimia itu dibangunkan Kam Technology Ltd, pendahulu bidang industri mikrobiologi dari Kanada degan berasaskan bahan mudah terurai apabila memasuki tanah, tasik dan laut.
Selain itu, formulanya mengandungi bahan yang tidak berbahaya atau menyebabkan kerengsaan di samping tidak memiliki kandungan toksik yang boleh mengancam hidupan akuatik.
Sebelum itu, Mongi memberitahu sekiranya produk berkenaan dapat diguna pakai ia dapat menyelesaikan masalah berkaitan debu di lombong, jalan raya, landasan kereta api dan tapak pembinaan.
Katanya, penggunaan Adherex 120 juga telah diuji bagi mengatasi masalah sama di kuari simen Oman Cement Company SOCG atau OCC.
“Adherex 120 berfungsi untuk mengubah partikel kecil kepada besar. Ia seterusnya membentuk rangkaian struktur bio-polimer yang panjang.
“Bila terbentuknya struktur bio-polimer, ia menyebabkan debu itu tidak berterbangan ke kawasan persekitaran. Pada bulan pertama, ia perlu di sembur sekali seminggu.
“Langkah itu perlu diulang setiap 10 hari untuk tujuan penyelenggaraan pada bulan berikutnya dan kaedah ini lebih menjimatkan,” katanya.
Menurut beliau, bauksit digunakan sebagai bahan utama dalam pembuatan aluminium secara meluas dalam industri pengeluaran keluli kerana ia tidak memiliki arsenik atau merkuri.
0 comments:
Post a Comment