Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 24, 2015

[KUANTAN] CDERT SIAP SIAGA OPERASI BANJIR


Cdert siap siaga operasi banjir


Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pahang berharap lebih banyak Pasukan Tindak balas Kecemasan Komuniti (Cdert) dapat diwujudkan di negeri ini bagi menghadapi bencana alam seperti banjir.

Pengarahnya, Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, terdapat 93 pasukan Cdert di negeri ini membabitkan lebih 800 ahli dan setiap anggota memiliki sijil latihan menyelamat daripada JPAM selepas menjalani kursus.

Menurutnya, pasukan Cdert bertanggungjawab memberi bantuan seperti pemindahan, penggunaan bot penyelamat dan pertolongan cemas kepada mangsa banjir ketika bencana alam berkenaan melanda kawasan penempatan mereka.

Katanya, setiap pasukan berkenaan sekurang-kurangnya mempunyai 30 anggota yang berdaftar namun disebabkan kurang mendapat sambutan daripada penduduk setempat jumlahnya hanya 10 hingga 20 orang sahaja.

“Sebelum pasukan Cdert diiktiraf JPAM, setiap anggota perlu mengikuti kursus yang dikendalikan JPAM daerah dan negeri sekali gus diwajibkan menjalani latihan membabitkan beberapa modul utama.

“Selain pertolongan cemas membantu menyelamatkan mangsa serangan jantung, lemas dan tercekik, mereka juga perlu menjalani latihan mengendalikan bot penyelamat yang akan digunakan ketika kejadian banjir berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Kursus Siap siaga Menghadapi Bencana Komuniti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Isap di Pejabat JPAM negeri, di sini kelmarin.

Seramai 70 ahli JKKK Kampung Sungai Isap menyertai sehari itu.

Zainal berkata, penubuhan Cdert dapat menyelamat mangsa banjir di setiap kampung dan taman perumahan kerana mereka menetap di kawasan sama, dengan kemahiran dan kemudahan yang ada usaha membantu lebih cepat dapat dilakukan.

Menurutnya, tugas menyelamat mangsa banjir oleh pihak berkuasa seperti JPAM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berlaku kelewatan sekiranya jalan ditenggelami air dan keadaan gelap.

“Persediaan awal menghadapi banjir penting bagi memastikan tidak berlaku sebarang masalah terutama apabila air naik dengan cepat seperti berlaku pada 2013 yang menyebabkan banyak masalah dihadapi mangsa apabila mereka terperangkap.

“Saya juga menasihatkan kepada penduduk yang tinggal di kawasan yang mudah dinaiki air supaya sentiasa mengikut arahan pihak berkuasa, apabila arahan berpindah dikeluarkan mereka perlu segera berbuat demikian,” katanya.


0 comments:

share2