Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 18, 2015

[KUALA KRAU] JKKK TERIMA BOT PENYELAMAT UNTUK BANJIR

Banjir: JKKK terima bot penyelamat



Pejabat Parlimen Kuala Krau memperuntukkan RM340,000 bagi membeli kelengkapan bot penyelamat bersama enjin untuk diserahkan kepada kesemua 20 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di dalam parlimen itu.

Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said berkata, turut sama dibekalkan enjin dan bot untuk kegunaan musim banjir itu adalah enam pejabat penghulu dan sebuah untuk pejabat Parlimen Kuala Krau.

Katanya, setiap JKKK yang terlibat diberikan sebuah bot bersama enjin 15 kuasa kuda serta kelengkapan berkaitan dengan nilai RM10,000 bagi setiap JKKK dan RM20,000 bagi setiap pejabat penghulu.

“Kesemua kelengkapan ini diberikan bagi kegunaan menyelamat mangsa banjir dan ini adalah sebahagian daripada persediaan kita menghadapi musim tengkujuh kali ini,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Umno Bahagian Sabri Idris pada majlis penyerahan tersebut yang diadakan di perkarangan Balai Polis Kuala Krau semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, seramai 2 platun tentera akan ditempatkan di sekitar Kuala Krau sebagai persediaan menghadapi banjir.

Beliau berkata, tentera yang dipilih itu akan dihantar bagi memberi bantuan kepada pasukan keselamatan dan penyelamat sedia ada terdiri daripada Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan lain-lain.

Menurutnya, kesemua pasukan keselamatan terbabit akan bergabung dan ditempatkan di tiga pangkalan hadapan utama sebagai persediaan membantu mangsa banjir.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan sebanyak 27 pangkalan hadapan disenaraikan di dalam Parlimen Kuala Krau sebagai persediaan banjir kali ini.




0 comments:

share2