Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 20, 2015

KERAJAAN TAK BERHASRAT SEKAT FB, WHATSAPP



media sosial


Kkuala Lumpur - Kerajaan tidak berhasrat menyekat laman sosial Facebook, Telegram, WhatsApp dan lain-lain kerana sebahagian besar rakyat Malaysia menggunakan kemudahan itu untuk pelbagai tujuan termasuk berkomunikasi dan menjalankan aktiviti keusahawanan.

Menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa komited dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang dalam menangani penyalahgunaan media sosial.

"SKMM turut memantau dan sekiranya terdapat sebarang kandungan yang bercanggah dengan undang-undang tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil," kata kementerian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Kementerian menjawab soalan Datuk Zainuddin Ismail (BN-Jelebu) yang bertanya sama ada kementerian bercadang menghentikan media sosial seperti Facebook, Telegram, WhatsApp dan lain-lain, dan menggantikannya dengan laman sosial tempatan seperti dilakukan di China.

Dari Januari hingga September 2015, SKMM telah mendakwa 14 kes di mahkamah atas kesalahan-kesalahan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) termasuklah kesalahan di platform media sosial.

Setakat ini, 11 kes telah pun dijatuhkan hukuman manakala tiga daripada kes itu masih dalam proses perbicaraan, kata kementerian.

Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, SKMM menyekat 1,263 laman sesawang dengan 632 laman sesawang adalah berdasarkan kepada permohonan agensi-agensi penguatkuasaan tempatan manakala 631 laman web disekat mengikut kesalahan Akta 588.

Menurut KKMM, ia sedang melaksanakan pindaan Akta 588 bagi menambah baik rangka kerja kawal selia dan penguatkuasaan sedia ada.

Dalam pada itu, KKMM memaklumkan bahawa sejak Januari hingga September tahun ini, sebanyak 1,368 aduan berhubung penyalahgunaan media sosial diterima.

Dalam perkembangan lain, KKMM berkata blogger kontroversi Alvin Tan sedang disiasat oleh pihak Polis DiRaja Malaysia(PDRM) di bawah Subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan Akta Hasutan 1948.

Dari 2009 hingga September tahun ini, pihak SKMM secara khusus telah mendakwa sebanyak 35 kes di mahkamah atas kesalahan-kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


0 comments:

share2