Bachok - Sebuah warung makan di Kampung Padang Lati dekat sini, hangus sekelip mata dalam kebakaran kira-kira jam 3 petang kelmarin.
Ketika kejadian, pemilik warung, Wan Zaidi Wan Ismail, 46, sedang tidur di rumahnya yang terletak di seberang jalan bertentangan dengan warung berkenaan.
Isteri Wan Zaidi, Norazila Abdullah, 42, berkata, dia mengejutkan suaminya selepas mendapati warung mereka terbakar.
Menurutnya, suaminya segera ke warung berkenaan dan cuba untuk memadamkan api yang kian marak namun gagal.
“Sebelum tu dalam jam 2 petang kami dah masuk warung untuk hantar bahan mentah yang dibeli sebab nak buka kedai jam 4 petang nanti.
“Lepas letak barang, kami balik ke rumah untuk berehat.. tak lama lepas tu saya terdengar bunyi letupan kecil dari arah warung dan tengok ada asap tebal dari belakang kedai.
“Saya tak pasti dari mana api bermula tapi nampak api dari bawah,” katanya yang sudah berniaga di situ sejak 13 tahun.
Norazila berkata, keseluruhan barangan perniagaan di warung itu hangus terbakar termasuk peralatan memasak, perabot, peralatan audio visual dan barangan elektrik yang bernilai kira-kira RM30,000.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Temu Ranggas, Mohd Yusoff Shaffie berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada pemimpin setempat dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) untuk membolehkan mangsa menerima bantuan wang ihsan.
Katanya, sebelum ini pada 2012 Wan Zaidi pernah menerima peruntukan peningkatan ekonomi di bawah agensi kerajaan persekutuan untuk mengembangkan perniagaannya.
Sementara itu, pihak bomba memaklumkan laporan kebakaran itu diterima pada jam 3.13 petang dan tiba di lokasi pada jam 3.28 petang.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Ab Razak Ab Rahman bersama tujuh anggota dengan dua jentera.
Kebakaran pada kedai binaan jenis sementara berukuran 14 meter x 7 meter itu dapat dikawal sepenuhnya pada jam 3.44 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
0 comments:
Post a Comment