Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 14, 2015

SPRM AKAN PANGGIL SIAPA SAJA, TERMASUK PM?


SPRM akan panggil siapa saja, termasuk PM?


Kuala Lumpur - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin boleh menyelesaikan kertas siasatan membabitkan isu SRC International, bekas anak syarikat 1MDB, menjelang akhir tahun ini.

Keyakinan itu dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull ketika ditemui pada Mesyuarat Pengarah-Pengarah SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini, semalam.

"Kami sedang cuba untuk menyelesaikan siasatan sebelum hujung tahun ini. Saya yakin kita boleh selesaikan sebelum akhir tahun ini. Insya-ALLAH," katanya.

Bagaimanapun siasatan berkenaan isu dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata, ia kemungkinan mengambil masa yang lebih lama sebab perlu mendapatkan maklumat dari pihak di luar negara.

"Kes RM2.6 bilion akan mengambil masa yang lebih lama," kata beliau.

Ketika ditanya sama ada pihaknya akan memanggil Najib, Shukri berkata, pihaknya akan memanggil siapa sahaja yang diperlukan untuk membantu siasatan SPRM.

"Kami akan panggil siapa sahaja yang diperlukan dalam siasatan," tegasnya.

Beliau juga menegaskan bahawa SPRM tidak akan membenarkan campur tangan mana-mana pihak dalam siasatan.

"Apa jua campur tangan tiada masalah. Tetapi tiada siapa pun boleh campur tangan dalam kes siasatan kami. SPRM akan menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional," kata beliau lagi.

SPRM dalam beberapa kenyataan sebelum ini ada menjelaskan bahawa pihaknya masih menjalankan siasatan berkenaan kedua-dua isu tersebut.

Turut hadir pada Mesyuarat Pengarah-Pengarah ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang cuti sakit sejak dua bulan lalu susulan pembedahan.

Terdahulu ketika ditemui wartawan, Abu Kassim berkata, beliau hadir untuk bertugas lebih awal, meskipun cuti sakit hanya berakhir hujung minggu ini, kerana prihatin dengan perkembangan dengan kes-kes yang disiasat.

"Saya telah menerangkan keadaan saya, dan saya juga telah mendapatkan penjelasan (awal) daripada pegawai-pegawai saya," katanya.

Bagaimanapun menurut beliau, SPRM akan memaklumkan perkembangan status kes yang disiasat ini dari semasa ke semasa.

"Kami akan memaklumkan perkembangan. Saya tahu bahawa orang ramai mahu lebih telus. Ini adalah penting sebab orang ramai mahu tahu apa yang berlaku," katanya.

"Tetapi pada masa yang sama, bolehkan kami menyelesaikan siasatan," kata beliau.

Semalam beliau berkata akan kembali bertugas mulai hari ini meskipun cuti sakit akan berakhir pada 16 Oktober ini.

0 comments:

share2