Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 19, 2015

PUSAT BELI-BELAH AMPANG PARK LENYAP?


Pusat beli-belah Ampang Park lenyap?


Kuala Lumpur - Berita pusat membeli-belah tertua di negara ini, Ampang Park yang bakal dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek stesen Mass Rapid Transit (MRT) tentunya memberi tamparan buat warga kota.

Rata-rata mula menggamit kenangan di kompleks berusia 42 tahun yang pernah menjadi destinasi kegemaran mereka menghabiskan masa hujung minggu bersama keluarga.

Dirasmikan pada 15 Mac 1973, Ampang Park tidak pernah lekang dikunjungi pelanggan meskipun mula dihimpit dengan pembangunan termasuk beberapa pusat beli-belah bertaraf antarabangsa di sekelilingnya.

Sebanyak 214 premis menawarkan pelbagai jenis jualan dan perkhidmatan yang menjadi pilihan pelbagai peringkat golongan yang tahu apa yang boleh didapati di situ.

Daripada keperluan harian, pakaian, malah pusat hiburan keluarga, kompleks terletak di Jalan Ampang itu mampu menepati kehendak warga kota sehingga kini walaupun ada yang memilih untuk ke lokasi belah yang lebih moden. 

Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park yang berpusat betul-betul di hadapan bangunan itu juga menjadikan ia terus gah di tengah-tengah ibu kota, seterusnya menjadikan Ampang Park saksi kepada kepesatan pembangunan sekitarnya.

Namun, sedikit masa lagi, bangunan warisan keluarga Tan Sri Low Keng Seng ini bakal terkubur apabila perlu dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan stesen bawah tanah yang akan berintegrasi secara fizikal dengan LRT Ampang Park sedia ada bagi membolehkan penumpang perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) bertukar ke perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya dan sebaliknya di stesen itu.

Sebagaimana kenyataan pihak MRT sebelum ini, tapak berkenaan akan diambil oleh kerajaan mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 dan akan dilaksanakan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) melibatkan lot-lot yang telah diwartakan.

Difahamkan kini prosedur bagi pengambilalihan lot terlibat itu sedang berjalan termasuk proses pertemuan bagi pendengaran dan rayuan oleh pemilik terlibat yang sudah tentunya akan melibatkan tuntutan dan pemberian pampasan.

Meskipun belum ada keputusan rasmi berhubung perkara berkenaan, bayangan bakal ‘hilangnya’ bangunan Ampang Park sudah mula dirasai warga kota, apatah lagi peniaga-peniaga yang sudah beroperasi di situ sejak awal dibuka atau paling kurang pun sudah 20 tahun. 

Tinjauan Sinar Harian ke kompleks itu baru-baru ini mendapat reaksi peniaga yang memberi gambaran agak keberatan dengan situasi yang sedang hangat dikatakan itu.

“Memang ada terima surat tentang tamat operasi premis dua minggu lepas, tapi tak dimaklumkan untuk tujuan apa sampailah kami baca di portal berita,” kata salah seorang peniaga yang ditemui.

Seorang lagi peniaga yang mahu dikenali dengan nama Tan berusia 56 tahun, yang juga penyewa salah sebuah premis, mengakui agak tertekan dengan berita berkenaan dan menyifatkan ia sebagai penamat kerjayanya.

“Saya dah beroperasi sejak 15 tahun dengan kadar sewa RM6,000 sebulan. Kalau mahu pindah dan sewa di premis bangunan lain, sudah tentu harganya dua kali ganda. Nampaknya sudah sampai masa saya bersara,” katanya kepada Sinar Harian.

0 comments:

share2