Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 3, 2015

[PEKAN] 20 NGO SOKONG MUFTI PAHANG


20 NGO sokong Mufti Pahang


Sebanyak 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Pahang menyatakan sokongan padu kepada Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman yang dikecam DAP ekoran kandungan khutbah Aidiladha yang mendakwa parti politik itu menentang Islam.

Yang Dipertua Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah (Aswaja) Pahang Yunan Abdul Samad yang mewakili NGO itu berkata, sokongan dibuat selepas mengambil kira teks khutbah yang dibacakan Abdul Rahman di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah I pada Aidiladha lalu merupakan tanggungjawab beliau untuk menasihatkan umat Islam.

“Itu adalah tanggungjawab dan hak seorang pemimpin Islam. Jika mufti memberi nasihat, maka umat Islam perlu terima dengan terbuka dan tidak mempunyai rasa curiga.

“Kami ucapkan syabas dan tahniah kepada mufti atas keprihatinan dan keberanian beliau menasihatkan umat Islam supaya bersatu padu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Jabatan Mufti Negeri Pahang di sini, semalam.

Pada majlis itu, Jabatan Mufti diwakili Ketua Penolong Mufti, Muhamad Miziazam Yahya.

Selain itu, Yunan juga berharap DAP tidak lagi memanjangkan isu berkenaan kerana berpandangan teguran Abdul Rahman bukan ditujukan kepada parti politik itu, sebaliknya dibuat kepada orang Islam di dalam parti terbabit.

Antara NGO yang menyatakan sokongan berdiri teguh di belakang Abdul Rahman ialah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Angkatan Sukarelawan al-Quran Pahang, Persatuan Veteran Tentera Pahang, Persatuan Perubatan Islam Pahang, Majlis Ta’lim Pahang dan Persatuan Institusi Pendidikan Islam Pahang.

Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puri sebelum ini dilaporkan memberi masa lima hari sehingga Rabu, untuk Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) memohon maaf secara terbuka dan menarik balik khutbah itu atau berdepan tindakan undang-undang
berhubung isi kandungan khutbah itu.

Bagaimanapun, Abdul Rahman menegaskan beliau tidak gentar dengan ancaman itu kerana khutbah itu merupakan satu nasihat kepada orang Islam supaya bersatu padu dan bukan bersama dengan pihak yang mencabar Islam.

Pendirian Abdul Rahman juga mendapat sokongan penuh kerajaan negeri dan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob semalam, turut memberi jaminan bahawa kerajaan Pahang bersedia menyediakan pasukan peguam jika isu itu dibawa ke mahkamah.

Pemimpin-pemimpin NGO menyatakan sokongan padu kepada Mufti Pahang yang menegur umat Islam dalam khutbah Aidiladha di Jabatan Mufti Negeri Pahang, semalam.

0 comments:

share2