Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 16, 2015

MYAPPS BANTU TAMBAH BAIK PENGURUSAN BANJIR


Ahmad Shabery Cheek



Kemaman - Pengenalan Sistem MyApps yang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk pendaftaran mangsa banjir di Kemaman mulai tahun ini akan menambah baik sistem pengurusan banjir.

Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, melalui sistem bernilai RM3 juta itu, pihak pengurusan banjir akan mengetahui bilangan sebenar mangsa banjir dan seterusnya memudahkan bekalan makanan serta keperluan diagihkan ke seluruh daerah.

"Selalunya kita tak tahu berapa jumlah tepat mangsa banjir tetapi melalui sistem ini, semua penduduk dah didaftarkan dan bila banjir berlaku, mangsa hanya perlu datang ke pusat pemindahan dengan membawa Mykad dan kita akan masukkan data jumlah anggota yang berpindah.

"Jadi, secara tak langsung maklumat tepat akan dapat disalurkan ke Pusat Bencana Daerah atau 'Command Center' serta keperluan lain seperti makanan, bekalan air bersih dapat diagihkan dengan tepat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup Program Simulasi Banjir dan Kesiapsiagaan Daerah Kemaman yang disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Felda Seberang Tayor semalam.

Sementara itu Ahmad Shabery yang juga ahli Parlimen Kemaman berkata, daerah berkenaan sudah bersiap siaga dalam menghadapi banjir tahun ini.

"Tahun ini kita lebih bersedia hadapi bencana banjir...kita tambah baik pengurusan berbanding tahun lalu.

Ahmad Shabery berkata, sebanyak dua simulasi banjir diadakan di daerah tersebut melibatkan pelbagai agensi termasuk tentera, polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam serta penduduk.

Sebanyak 76 pusat pemindahan banjir disediakan di daerah tersebut yang boleh memuatkan 40,000 mangsa.

Tahun lepas, Kemaman dianugerahkan 'gold standard' oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas kecekapan pengurusan bencana banjir daerah berkenaan.

0 comments:

share2