Butterworth - Seorang wanita nyaris rentung apabila kediamannya di Flat Taman Pantai Intan, di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.
Ketika kejadian pada 9.40 pagi, wanita berusia 40-an itu dikatakan bersendirian di rumah yang terletak di tingkat tiga flat itu.
Seorang jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, 30-an, berkata, wanita itu yang berada di bilik utama rumah berkenaan sempat diselamatkan oleh suaminya yang kebetulan pulang untuk mengambil barang.
"Nasib baik suaminya balik ke rumah dan sempat membawa keluar wanita itu...kami di sini tidak tahu dia berada dalam rumahnya. Selalunya dia keluar mencari barang terpakai bersama suaminya...rumah sewa mereka itu memang penuh dengan kotak, tin dan kertas," katanya di sini hari ini.
Penguasa Bomba Kanan II Bakar Abu Hassan berkata, dua jentera bersama 14 anggota dengan dibantu bomba sukarela mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran.
"Ketika kami sampai, api sedang marak di sebahagian ruang tamu manakala bilik utama telah hangus," katanya.
0 comments:
Post a Comment