“Saya membuat keputusan dua minggu lalu untuk menamatkan zaman bujang dengan pasangan saya walaupun baharu lima bulan mengenalinya,” demikian kata Asmadillah Mohamad, 32, ketika ditemui pada majlis pernikahan beramai-ramai di sini, semalam.
Asmadillah antara 11 pasangan yang dinikahkan dalam majlis pernikahan beramai-ramai anjuran Masjid Tepian Putra dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan sempena Karnival Cintakan Allah dan Rasul.
Asmadillah berkata, dia mengenali isterinya, Nurul Farah Diana Harun, 21, melalui seorang rakan lima bulan lalu.
Menurutnya, sebaik dimaklumkan rakan mengenai program bernikah beramai-ramai dua minggu dia mengambil keputusan untuk menyertainya.
“Walaupun perancangan untuk mendirikan rumah tangga adalah pada Februari tahun hadapan namun, jodoh kami sampai awal.
“Saya yakin dengan keputusan yang dibuat selepas mendapat restu dari kedua-dua belah pihak selain keserasian antara kami berdua,” katanya.
Asmadillah yang bekerja sebagai pemandu lori dari Jaya Gading di sini menganggap program berkenaan amat baik bagi memudahkan pasangan untuk mendirikan rumah tangga.
“Dengan bayaran RM1,200, segalanya diuruskan pihak penganjur dan saya amat bersyukur apabila majlis berjalan dengan lancar.
“Saya berharap rumah tangga yang dibina akan diberkati ALLAH SWT,” katanya.
Bagi Ahmad Firdaus Zulkifli, 20, dan pasangan Syarifah Syakira Marziana Syed Abdul Rahim, 22, usia yang muda tidak menghalang mereka untuk bergelar suami isteri.
Ahmad Firdaus berkata, dia sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga sebaik membuat keputusan untuk berkahwin.
“Saya sungguh terharu dan gembira kerana majlis pernikahan beramai-ramai ini sungguh meriah dan tidak semua dapat merasai detik sebegini,”katanya.
Majlis pernikahan itu turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.
0 comments:
Post a Comment