Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 2, 2015

[KUANTAN] BANTU KEMBANGKAN TENUN PAHANG


Bantu kembangkan tenun Pahang


Produk tenun Diraja Pahang yang dihasilkan banduan daripada Penjara Penor dan Bentong diharap dapat berkembang dan diperluaskan ke pasaran negara Asia pada masa akan datang.

Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, hasil tenunan tersebut harus diperbesarkan memandangkan ia begitu cantik dan bermutu tinggi.

“Banduan-banduan yang menghasilkannya telah memberikan fokus dan buah fikiran yang mantap dalam mempelbagaikan corak termasuk yang baharu bagi produk tenun Diraja Pahang ini.

“Saya juga bangga kerana dapat mempromosikan tenun Pahang ini secara persendirian dengan memakai pakaian yang dihasilkan sendiri oleh mereka.

“Dalam masa yang sama juga dengan kunjungan kawan-kawan dan peminat tenunan seperti dari Indonesia untuk melihat lebih dekat hasil tenun Pahang Diraja menunjukkan ada langkah baharu memperkenalkannya kepada luar," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pelancaran Galeri Tenun Bandar dan Pusat Sumber Tenun Pahang Diraja, Jabatan Penjara di sini, semalam.

Turut hadir, Tengku Puan Pahang; Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhamad Saffian Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Samuddin.

Dalam pada itu, baginda bertitah, banduan-banduan yang terlibat harus diberikan sokongan memandangkan pada ketika ini mereka sedang berusaha untuk menukar arah ke arus yang lebih baik.

“Dengan itu, diucapkan terima kasih kepada jawatankuasa khas yang berjaya merealisasikan produk Tenun Diraja ini termasuk isteri saya dan dibantu Ketua Pengarah Penjara yang sentiasa memberikan sokongan serta bantuan kepada banduan-banduan tersebut.

“Terhasilnya tenunan ini tidak bermakna kita melupakan penghasilan batik tetapi sekarang kita sudah boleh mempelbagaikan apa yang kita hendak pakai,” titahnya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, kewujudan Galeri Tenun Bandar dan Pusat Sumber Tenun Pahang Diraja merupakan satu anugerah dan suntikan semangat bagi seluruh warga kerja Jabatan Penjara dan Kementerian Dalam Negeri dalam mengangkat seni warisan negeri ini.

“Kini terdapat 119 orang penghuni di Penjara Penor dan Bentong yang sedang mengikuti kelas kemahiran penghasilan kain tenun Pahang Diraja.

“Seramai 27 orang bekas penghuni telah berjaya memperoleh sijil kemahiran dalam bidang pengkhususan membuat Tenun Pahang Diraja dan lebih membanggakan daripada jumlah tersebut tidak ada bekas penghuni yang mengikuti kemahiran tersebut kembali dimasukkan ke penjara,” katanya.

0 comments:

share2