Bagaikan maksud peribahasa Melayu 'habis manis, sepah dibuang', DAP menunjukkan sikap cauvinis dan sosialisnya yang sebenar dengan mengutuk PAS dan kepemimpinannya habis-habisan selepas memutuskan hubungan politiknya dengan PAS, Julai lalu.
Kini, PAS sedang menimbang untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam kerajaan negeri Selangor sebagai langkah terakhir menutup terus hubungan langsung antara bekas sekutu pakatan pembangkang itu.
DAP mengakui selama menjalinkan hubungan politik dengan PAS, ia sudah dapat manfaat besar. Walaupun pada mulanya, pemimpin DAP berasakan risiko berbaik-baik dengan PAS, akhirnya DAPlah yang dapat laba terbesar. Kata Lim Kit Siang: "DAP ambil risiko untuk sertai pakatan politik dengan PAS kerana pada ketika itu, kita baru mengalami kekalahan besar. DAP selama ini terjerat dalam ruang politik bukan Melayu. Walaupun DAP tak pernah sebuah parti politik Cina yang berjuang untuk satu kaum, politik DAP tertumpu kepada soal kedudukan orang Cina dalam proses pembinaan negara dan identiti kebangsaan Malaysia. Pengundi Cina dan bukan Melayu adalah benteng sokongan DAP.
"Selama ini, DAP terjerat dengan ruang politik bukan Melayu. Tapi hubungan dengan PAS adalah peralihan polisi dan keluarkan DAP daripada jerat ini ke arus perdana politik Malaysia." (Ucapan di Pusat Pengajian Diaspora Selatan Cina di Canberra, Australia pada 2000).
Antara kesan positif kepada DAP ialah ia tidak lagi kelihatan anti-Islam, anti-Melayu atau anti-ulama. Bila pemimpin DAP masuk kawasan Melayu, bergiat dalam masjid dan surau yang dikuasai PAS atau berkempen menggunakan ayat Quran atau hadis, pemimpin dan penyokong PAS membiarkan sahaja. Malah, ada pemimpin PAS yang menyeru orang Melayu sertai DAP dan sanggup bergadai nyawa untuk Karpal Singh, padahal sebelum 1998, pemimpin kedua-dua parti mengelak untuk kelihatan bersama, apatah lagi berpelukan.
Sanggup ketepi ideologi
Mengimbau sejarah kerjasama PAS dengan DAP, Kit Siang berkata kedua-dua parti memang tahu pendirian ideologi masing-masing sejak awal lagi, khususnya perjuangan PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam dan penentangan DAP terhadap idea itu.
Namun, DAP meneruskan juga kerana berasa boleh dapat keuntungan besar daripada PAS, terutama Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Hadi Awang. Ingat Kit Siang, beliau teruja dengan jaminan Nik Aziz yang lebih inginkan sebuah masyarakat Islam, bukan negara Islam.
Jaminan ini diberi ketika bekas Menteri Besar Kelantan itu berdialog dengan rombongan Majlis Gereja-Gereja Malaysia pada Mei 2000. "Ini bermakna, negara Islam bukan pilihan yang praktikal dalam sebuah masyarakat di mana PAS tak mampu mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen untuk meminda Perlembagaan," ujar Kit Siang. Ekoran daripada itu, PAS bersetuju tidak masukkan Negara Islam dalam Manifesto Bersama pakatan pembangkang pada 1999, 2004, 2008 dan 2013. Ketika Hadi menjadi Menteri Besar, Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP menghantar satu delegasi ke Kuala Terengganu.
Janji PAS kepada DAP
Kit Siang mengetuai delegasi itu, yang dianggotai semua AJK Cina: Dr Tan Seng Giaw, Lim Guan Eng, Kerk Kim Hock, Fong Kim Lun, Tan Kok Wai, Ronnie Liu, Teresa Kok dan Foo Yueh Chuan.
Hasil perbincangan itu sungguh berbaloi untuk DAP kerana kerajaan PAS Terengganu menerima hampir semua tuntutan parti itu. Antaranya, melantik dua wakil Cina dalam Majlis Perbandaran Kuala Terengganu, serta lain-lain majlis perbandaran dan majlis daerah.
Hadi juga setuju mempertimbang tidak mengenakan cukai kharaj ke atas penduduk bukan Islam, manakala apa-apa cukai yang hendak dicadangkan mestilah dipersetujui terlebih dulu oleh bukan Melayu, selain mempertimbangkan pembinaan bangunan baharu untuk Persatuan Buddha, Persatuan Katolik dan Gereja Presbyterian Terengganu.
DAP juga berjaya dapat jaminan Hadi untuk pertimbangkan peruntukan kepada sekolah rendah Cina sebagai pengiktirafan dan menghargai sumbangan mereka kepada pembangunan negara, selain menganugerah projek pembangunan, perumahan kos rendah, lesen penjaja dan gerai kepada bukan Melayu tanpa diskriminasi dan berdasarkan keperluan mereka.
DAP juga mengucapkan terima kasih kepada Hadi kerana membenarkan babi dipelihara dan disembelih di Negeri Darul Iman, manakala dagingnya dijual secara terbuka di negeri Pantai Barat dan bukan secara berselindung lagi!
Dulu, DAP tuduh Barisan Nasional menjalankan kempen memburukkan PAS sebagai parti jumud, tidak demokratik, menindas wanita dan hak asasi, serta tidak serasi dengan pembangunan, pemodenan atau kemajmukan budaya. Tapi hari ini, DAP pula menggunakan propaganda sama.
0 comments:
Post a Comment